BATU PAHAT: Kira-kira 500 buah rumah yang dibina di sepanjang Sungai Simpang Kiri dari Sri Medan sehingga ke Pekan Parit Sulong berisiko dipindahkan sekiranya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menggunakan kaedah ban tanah dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RTB Parit Sulong, Hairul Fauzi Mokli berkata, kira-kira 140 buah rumah terletak hanya enam meter, manakala hampir 400 kediaman terletak 14 meter dari tebing sungai tersebut.
Beliau mendakwa penggunaan kaedah ban tanah memerlukan ruang sehingga 14 meter berbanding hanya beberapa meter jika projek RTB itu menggunakan kaedah tembok banjir.
Justeru, pihaknya berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dapat mengkaji dan menilai semula kaedah bersesuaian untuk melaksanakan RTB yang akan dibina supaya tidak menjejaskan kediaman penduduk di sepanjang pinggir sungai berkenaan.
“Mungkin ramai bertanya mengapa mereka membina rumah terlalu hampir dengan sungai, secara hakikatnya Sungai Simpang Kiri ini kelebarannya adalah kecil berbanding yang ada sekarang ini dan mereka sudah membina kediaman itu sejak lebih 50 tahun lalu.
“Akibat hakisan sedikit demi sedikit, kelebaran sungai ini makin luas malah ada rumah yang hanya terletak kira-kira dua meter dari tebing sungai dan berisiko runtuh suatu masa nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hairul Fauzi berharap projek RTB itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa dengan memikirkan nasib penduduk terlibat terlebih dahulu walaupun menyedari mereka berdepan risiko banjir apabila tiba musim tengkujuh.
Seorang penduduk Kampung Melayu Sungai Lontok, Mohamad Yusri Yusuf, 45, mengakui penduduk kampung amat tertekan selepas menerima maklumat bahawa kediaman mereka terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan bagi perlaksanaan projek RTB itu.
“Persoalan utama yang perlu difikirkan adalah di mana dan dengan kos apa penduduk hendak membina semula kediaman yang mencecah puluhan ribu ringgit itu nanti.
“Kepimpinan tertinggi negeri ini diharap dapat turun padang, melihat sendiri keadaan di kampung ini bagi memahami keadaan sebenar sebelum perlaksanaan projek RTB itu diteruskan,” katanya.-UTUSAN










