PETALING JAYA: S. Sivasangari bukan sekadar melakar sejarah dalam kariernya, tetapi, dia juga muncul pemain skuasy Malaysia pertama mara ke suku akhir selepas kali terakhir Datuk Nicol David berbuat demikian pada 2017 di Kejohanan Dunia, Chicago, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Memegang status selaku pemain No. 9 dunia, Sivasangari mempamerkan prestasi baik membenam cabaran wakil tuan rumah, Amanda Sobhy yang menghuni ranking No. 8 dunia 11-8, 14-12, 11-6 dalam masa 34 minit di pusingan ketiga.
Persiapan rapi yang dilakukan anak jati Sungai Petani, Kedah itu ternyata berbaloi selepas dia berlatih dengan bekas jaguh No. 1 dunia, Gregory Gaultier menjelang Kejohanan Dunia terutama bagi memperbaiki tahap kecergasannya.
Ketika ditemu bual PSA Squash selepas perlawanan berakhir, Sivasangari berkata, bukan mudah berdepan pemain seperti Sobhy yang memiliki semangat juang tinggi.
“Dalam dua perlawanan terdahulu saya bertemu Amanda (Sobhy), ia berkesudahan dengan keputusan 3-2 dan yang terakhir kemenangan berpihak kepada saya.
“Tetapi dia seorang pejuang, selepas pelbagai cabaran yang terpaksa diharunginya, dia berjaya kembali ke gelanggang dengan prestasi yang lebih mantap.
“Saya rasa saya berjaya menyempurnakan permainan dengan baik, keadaan fizikal saya juga bagus, saya berlatih dengan Greg (Gaultier), baru-baru ini, memang ada perubahan pada tahap kecergasan saya,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu melahirkan rasa gembiranya berjaya mencatat keputusan straight set dan dia belum pernah mara sehingga ke suku akhir pada Kejohanan Dunia.
“Pencapaian ini amat bermakna buat saya, bukan sahaja kali pertama ke suku akhir Kejohanan Dunia, saya juga jarang sekali dapat mara ke peringkat sama dalam kejohanan berstatus Platinum, jadi, saya amat gembira dengan prestasi saya, hari ini,” katanya.
Pada suku akhir, Sivasangari bakal berdepan rakan senegara Sobhy yang juga merupakan bintang No. 4 dunia, Olivia Weaver, hari ini.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain No. 10 dunia, Ng Eain Yow tersungkur di pusingan ketiga selepas tewas di tangan jaguh No. 1 dunia, Mostafa Asal dari Mesir 4-11, 6-11, 7-11 dalam masa 56 minit. – UTUSAN









