Putra Heights: Proses mohon bantuan mengelirukan

Putra Heights: Proses mohon bantuan mengelirukan

Penduduk dakwa proses mendapatkan bantuan ekoran kejadian letupan paip gas di Putra Heights sangat mengelirukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Penduduk Putra Heights yang terjejas dengan letupan paip gas pada 1 April lalu mendakwa proses penyaluran bantuan kepada mereka amat mengeliru dan menyusahkan.

Nazira Aziz, 36, seorang suri rumah berkata, pihak berkuasa sewajarnya memberikan penjelasan terperinci berhubung asas pemilihan penerima bantuan serta menjelaskan senarai agensi yang dirujuk dalam proses penyaluran tersebut.

Nazira Aziz

Katanya, pihak berkuasa memaklumkan bantuan akan disalurkan dalam fasa kedua, namun sehingga kini mereka tidak dimaklumkan bila atau bagaimana proses itu akan dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bantuan lain seperti sumbangan RM1,000 daripada kerajaan juga menimbulkan persoalan kerana ramai pelajar di kawasan kami tidak tersenarai sebagai penerima.

“Dalam kawasan kami saja ada kira-kira 100 pelajar yang tidak terima bantuan tersebut. Kami buat senarai termasuk pelajar sekolah rendah, mene­ngah dan universiti, semuanya tidak terima walaupun layak.

“Apabila kami rujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mereka kata nama tersebut berdasarkan senarai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tetapi kami tidak pasti senarai JKM yang mana satu digunakan,” katanya ditemui semalam.

Seorang lagi mangsa letupan, Natasha Aiyla Busthami, 36, berkata, senarai JKM tersebut seharusnya diumumkan secara terbuka agar ibu bapa mengetahui status kelayakan anak mereka.

“Sebagai penduduk yang terkesan, kami harap dapat melihat salinan senarai tersebut agar tiada pelajar yang tercicir atau tertinggal. Kami juga mahu diberi penjelasan kriteria yang digunakan oleh pihak berkuasa dalam menentukan penduduk yang layak untuk menerima bantuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini