Bukan buku terakhir

Bukan buku terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEADAAN di ruang pameran buku di kedai terkenal itu senyap sahaja. Hanya beberapa orang pembeli yang berada di ruang pameran itu. Aku mengerling jam pada dinding di hadapanku. Jam sudah menginjak ke pukul 2.30 petang.

Aku hanya tercatuk menunggu seperti seekor burung yang patah sayapnya. Sudah berbulan-bulan aku di situ. Kedai buku itu umpama rumah yang sudah lama aku diami. Di sini hanya ada rasa yang terbuku di sanubariku tanpa dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Malah menjadikan aku sepi dalam menempuh kemelut yang bergelora di dalam jiwa.

Mataku menyoroti beberapa rak buku di hadapanku. Semua buku sudah semakin berkurangan. Buku-buku rujukan, komik dan novel juga semakin berkurang. Hanya yang tinggal beberapa buku sahaja diletakkan di rak itu.

Timbul perasaan curiga yang semakin menebal di benak hatiku. Hanya aku sahaja yang masih tetap bertenggek dengan sabar di rak itu sendirian!

Ah, mana pergi jiran-jiran sebelahku? Rakan-rakan yang lain juga tidak ada, ke mana mereka menghilang? Sedangkan pada beberapa bulan dahulu kelibat mereka masih ada bersama-samaku. Mustahil mereka sanggup meninggalkan aku sendirian di sini? Mustahil mereka sanggup menghilang begitu sahaja tanpa ada yang mengganti tempat mereka? Pelik! Getusku menerbitkan pertanyaan yang sangat misteri di hatiku.

Namun, segala pertanyaan itu hanya kaku di situ. Kedai buku itu juga sudah kurang dikunjungi oleh pembeli. Seingat aku, hanya dua atau empat orang sahaja yang masuk ke dalam kedai buku itu sambil meninjau-ninjau keadaan di situ dan kemudiannya keluar sambil mempamerkan wajah yang sangat hampa. Ada juga pembeli yang keluar dengan wajah yang masam dan marah. Entah apa yang membuatkan mereka tidak berpuas hati aku sendiri tidak mengerti?

“Mana pergi semua buku di sini? Tidak ada stok lagikah untuk novel yang saya cari ini? Tanya seorang perempuan sambil menunjukkan gambar novel yang dicarinya melalui skrin telefon bimbit.

“Maaf cik, novel yang cik cari ini memang sudah tidak ada stok lagi. Entahlah, saya pun tidak tahu mengapa stok untuk buku-buku serta novel masih belum dihantar ke kedai buku kami? Sudah berbulan-bulan kami menunggu stok tersebut.” Balas juruwang yang menjaga kaunter di kedai itu.

Akhirnya, nasib yang sama menimpa perempuan itu. Dia keluar dengan wajah yang mencuka. Aku pula hanya terlopong tatkala mendengar kata-kata juruwang itu dengan mata yang terbeliak.

“Apa yang dicari tadi?” Soal tuan kedai buku itu.

“Seperti biasa bertanyakan buku-buku yang semakin berkurangan di kedai kita ini.” Jawab juruwang kepada soalan sepandir itu.

“Entahlah, sampai bila keadaan ini akan berterusan. Daripada maklumat yang diperoleh daripada pihak pembekal, ada dinyatakan buku-buku yang berkurangan disebabkan tiada pasaran yang tinggi buat masa ini.”Jelas tuan kedai buku itu sambil berlalu pergi.

Aku yang mendengar tentang perkhabaran itu semakin rungsing. Jika situasi ini berterusan maka kedai buku itu akan gulung tikar dan keadaan diriku juga berada dalam keadaan yang sangat bahaya.

Jika kedai buku ini ditutup, aku bakal dicampakkan ke dalam stor bersama-sama rakan-rakan lain. Tatkala teringatkan suasana di dalam stor yang gelap, berdebu dan sunyi itu membuatkan hatiku tidak keruan.

“Saya mencari buku Ensiklopedia untuk saya hadiahkan sempena Hari Guru nanti kepada pensyarah saya. Di mana boleh saya perolehnya?” Soal seorang pelajar perempuan dari IPTA.

“Buku itu ada di rak ketiga di tengah-tengah kedai ini. Cik boleh cari di sana.” Balas juruwang itu dengan berhemah.

Pelajar perempuan itu terus berjalan menuju ke arahku. Di situ, aku cuba memikatnya dengan senyuman yang manis bak gula. Aku mengharapkan agar dia membeliku pada hari itu. Sekiranya dia membeliku sudah pastilah aku dapat melarikan diri daripada dibelenggu oleh masalah yang menimpa kedai buku itu. Aku tidak mahu menjadi penghuni terakhir di kedai buku itu. Malah, jauh sekali untuk meneruskan kehidupan di bilik stor yang gelap lagi sunyi.

Tatkala dia membelek-belek aku, tiba-tiba dia menghempaskan aku kembali di rak. Seluruh badanku kesakitan. Aku menjerit sekuat hati. Aku diumpamakan seperti sampah terbuang. Dia meninggalkan aku tanpa rasa simpati.

Dia juga seperti pembeli lain yang datang dan pergi tanpa membeli sebuah buku pun di kedai itu. Rasa sedih di hatiku kembali bersarang tanpa aku pinta.

Timbul pelbagai persoalan di benak fikiranku. Adakah aku buku terakhir di kedai buku itu? Apakah nasibku akan sama seperti mana buku-buku yang tidak lagi minat dibaca oleh pembeli lain?

Mengapa masyarakat kini tidak gemar membaca sedangkan bahan bacaan itulah yang menjadikan mereka bangsa yang berjaya? Adakah mereka tahu akan frasa ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ yang maksudnya individu daripada sesuatu bangsa yang membaca membawa citra kejayaan bangsanya dan memberi impak yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat dan nusa?

Adakah mereka sedar betapa hanya dengan membaca dapat memerdekakan minda? Dan kesemua persoalan itu hanya diam tanpa ada jawapan. Kemudian, ada air mata jernih semakin bertakung di tubir kelopak mataku dan pada bila-bila masa sahaja akan mengalir laju di pipiku.

Dua hari kemudian sedang aku berbaring malas di atas rak, tuan kedai buku itu datang dan menghampiri aku. Dia mencongak-congak buku-buku yang ada di persekitaranku dengan jari-jemarinya.

Dia juga mencatat beberapa buku yang masih tetap setia berada di situ termasuk aku. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala berulang kali dan mengeluh. Tatkala dia ingin berlalu pergi dia tertinggal sebatang pen biru betul-betul di sebelahku.

Lantas aku tersenyum melihat pen biru itu. Pen biru pula hanya memerhatikan aku dengan pandangan kosong seolah-olah aku langsung tidak mempunyai harga diri. Tanpa rasa malu aku memulakan perbualanku dengan pen biru.

“Kau tahu pen biru, aku sudah lama keseorangan di sini. Mujurlah kau datang dan sekurang-kurangnya aku ada rakan yang boleh berkongsi cerita tentang masalah yang sedang aku hadapi.”

Pen biru tersentak tatkala mendengar kata-kataku itu. Barangkali sudah ada rasa simpati yang tumbuh menjalar di sanubarinya.
“Aku dengar banyak buku yang tidak sampai ke kedai buku ini. Tidak ada pembekal yang berani mengambil risiko untuk menjual buku sejak kebelakangan ini. Kau tahu kenapa?” Soal pen biru membuatkan mataku terbeliak memandang tepat ke wajahnya.

“Kau tahu, beberapa buah kedai buku terbesar di negara kita ini telah menghentikan operasinya selepas kira-kira 18 tahun mengendalikan perniagaan peruncitan buku?

“Menurut pengurusan Berjaya Books Sdn. Bhd. yang mengendalikan Borders Malaysia dalam satu notis ringkasnya menzahirkan rasa sedih dengan penutupan kedai Buku Borders.

“Borders Malaysia sebuah anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation membuka kedai Borders pertama di Malaysia pada tahun 2005 di Berjaya Times Square Kuala Lumpur, di Bangsar Village 2 yang pendapatan tahunannya lumayan kerana menjual pelbagai jenis buku di kedai tersebut.” Ujar pen biru mula memberikan penerangan dengan lebih lanjut.

Aku tercengang. Kukira pen biru itu hanyalah sebatang pen tanpa mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi seperti aku ‘Ensiklopedia’ yang menjadi rujukan kepada semua orang.

Kini aku sedar bahawa ilmuku itu tidaklah begitu mendalam jika dibandingkan dengan pen biru yang sentiasa mencatat segala ilmu selepas habisnya pembacaan. Sedangkan aku, apabila selesai dibaca akan terbiar di rak sehinggalah aku diambil kembali untuk mendapatkan rujukan.

Barangkali aku terlalu sombong sehinggakan Tuhan menghukum aku tinggal keseorangan? Barangkali juga ini adalah natijah daripada keegoanku yang sentiasa memandang hina kepada rakan-rakan buku yang lain?
Aku kembali teringat tentang buku catatan di rak yang sama denganku.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×