PETALING JAYA: Atlet berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri perlu menaikkan berat badan sekurang-kurangnya dua kilogram (kg) bagi berupaya memberi saingan kepada pelumba-pelumba antarabangsa.
Olimpian negara itu berkata, matlamat utamanya kini untuk menambah jisim otot dan bagi merealisasikannya dia perlu menjalani jadual pemakanan yang ketat serta mengambil protein tambahan.
Selain itu, Nurul Izzah berkata, dia juga akan berlatih mengangkat bebanan secara intensif selama empat hari seminggu dengan memberi tumpuan tiga hari di bahagian kaki sahaja.
“Awal-awal memang sukar sebab saya kena tukar cara hidup, namun kadang-kadang saya akan rujuk pada pasukan. Jurulatih ada memberitahu untuk fokus pada jisim otot dan naikkan berat badan mengikut sasaran yang ditetapkan.
“Pembikinan jisim otot ini dibuat dengan cara pemakanan dan menaikkan berat badan serta mengangkat bebanan di gimnasium. Pakar nutrisi menetapkan saya menaikkan berat badan 54kg yang mana berat saya sekarang 52kg,” katanya.
Nurul Izzah ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Olahragawati Pelajar (Lencana Biru) untuk membawa pulang RM1,500 di Universiti Malaya, di sini kelmarin.
Atlet berusia 21 tahun itu turut memperoleh satu lagi anugerah khas atas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Olimpik Paris, serta rekod Asia dan kebangsaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia yang melayakkannya menerima insentif RM10,000.
Dia kini melakukan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trek Kebangsaan yang akan berlangsung pada 20 hingga 25 Mei ini di Johor sebelum berlepas ke Jerman bagi menghadapi latihan intensif selama sebulan.
Sementara itu, atlet olahraga negara acara 800 meter (m), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari pula dinobat penerima Anugerah Olahragawan Pelajar (Lencana Biru). – UTUSAN










