PETALING JAYA: Seramai 17 warga asing termasuk tujuh daripadanya kanak-kanak yang dieksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan oleh polis semalam.
Menerusi Op Pintas Mega oleh Bahagian Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ Bukit Aman di empat lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur, polis turut menahan 45 warga asing didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri Rawang pukul 12.05 malam.
Katanya, lima remaja lelaki terdiri empat warga Myanmar dan Indonesia yang berusia 16 sehingga 17 tahun diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Atipsom.
“Susulan itu, kita menahan dua lelaki terdiri seorang lelaki tempatan dan warga India yang berperanan sebagai majikan dan penyelia kanak-kanak itu.
“Dalam serbuan sama, seramai 20 individu berusia 22 sehingga 45 tahun terdiri 10 warganegara Myanmar, selain warga India (empat); Bangladesh (dua) dan Indonesia (dua),” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Soffian berkata, serbuan kedua di tapak pembinaan Pantai Dalam berjaya menyelamatkan lapan lelaki kerana menjadi mangsa eksploitasi.
Beliau berkata, sembilan individu berusia 35 hingga 51 tahun terdiri seorang penyelia warga tempatan ditahan dalam serbuan semalam.
“Serbuan ketiga pula dilakukan ke atas sebuah bengkel kereta di Puchong Utama, Selangor pada pukul 4.16 petang dan menyelamatkan dua lelaki berusia 14 dan 17 tahun selain menahan seorang majikan.
“Kita juga telah menyerbu sebuah lagi bengkel kereta di lokasi sama pada pukul 4.25 petang sebelum menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar,” jelasnya.
Kata Soffian, dalam serbuan sama, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang berperanan sebagai majikan dan dua lelaki Myanmar.
“Kesemua mangsa yang diselamatkan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Brickfield dan Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











