Chelsea mara ke final Liga Persidangan UEFA

Chelsea mara ke final Liga Persidangan UEFA

TONGGAK tengah Chelsea, Kiernan Dewsbury-Hall (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam aksi separuh akhir menentang Djurgardens di Stamford Bridge, London, pagi ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Chelsea mara ke final Liga Persidangan UEFA selepas menewaskan pasukan Sweden, Djurgarden 1-0 untuk melengkapkan kemenangan agregat 5-1 dalam perlawanan separuh akhir pagi ini.

Kiernan Dewsbury-Hall menjaringkan satu-satunya gol di Stamford Bridge pada lewat separuh masa pertama, dalam perlawanan yang menyaksikan Reggie Walsh, 16, menjadi pemain termuda memulakan perlawanan Eropah untuk Chelsea.

The Blues berpeluang menjadi kelab pertama memenangi ketiga-tiga kejohanan utama UEFA yang sedang berlangsung jika mereka menewaskan sama ada Fiorentina, yang dua kali menjadi naib juara, atau Real Betis di Wroclaw pada 28 Mei ini.

Pertahanan Marc Cucurella merupakan satu-satunya pemain yang dikekalkan daripada pasukan yang menewaskan Liverpool dalam saingan Liga Perdana minggu lalu, apabila pengurus Enzo Maresca membuat rombakan besar terhadap barisannya bagi memberi tumpuan kepada perlawanan penting Ahad ini menentang Newcastle.

Pengurus dari Itali itu telah dikritik kerana taktikalnya yang berhati-hati, namun beliau berjaya membawa Chelsea yang kini di tangga kelima dalam laluan untuk layak ke Liga Juara-Juara melalui kedudukan lima teratas di England.

Walsh membuat penampilan sulungnya sebagai pemain gantian dalam kemenangan 4-1 di Stockholm minggu lalu ketika Chelsea menguasai perlawanan itu, namun keputusan tersebut tidak menghalang kira-kira 6,000 penyokong Djurgarden untuk hadir ke London bagi aksi timbal balik.

Dewsbury-Hall dan Tyrique George memaksa penjaga gol Djurgarden, Jacob Rinne, melakukan beberapa aksi menyelamat sebelum kedua-dua pemain Chelsea itu bergabung untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-38.

George melorongkan hantaran kepada Dewsbury-Hall yang mempercepatkan larian melepasi beberapa pertahanan sebelum menyudahkan sepakan kemas yang terkena tiang gol dan masuk.

Gol itu memadamkan sisa harapan Djurgarden, yang juga merupakan kelab Sweden pertama mara ke separuh akhir kejohanan Eropah sejak Gothenburg memenangi Piala UEFA 1986-87.

Dewsbury-Hall berpeluang menambah gol kedua apabila beliau menanduk hantaran silang Malo Gusto tepat ke arah Rinne, namun pasukan pelawat jarang mengancam, kecuali satu percubaan jarak jauh daripada Daniel Stensson yang ditepis keluar oleh Filip Jorgensen.

Chelsea belum memenangi sebarang trofi utama sejak Liga Juara-Juara 2021, namun mereka kini menjadi pilihan utama untuk meraih kejuaraan pertama mereka sejak konsortium Todd Boehly mengambil alih kelab daripada Roman Abramovich tiga tahun lalu. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×