WASHINGTON: Meta menyekat sebuah akaun berita Islam yang terkenal di Instagram di India atas permintaan kerajaan negara itu.
Pengasas akaun tersebut, Ameer Al-Khatahtbeh menyifatkan tindakan itu sebagai ‘penapisan’ ketika permusuhan memuncak antara India dan Pakistan.
“Saya menerima ratusan mesej, e-mel dan komen daripada pengikut kami di India yang menyatakan mereka tidak dapat mengakses akaun kami.
“Meta telah menyekat akaun @Muslim atas permintaan undang-undang daripada kerajaan India. Ini adalah penapisan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengguna Instagram di India yang cuba mengakses kandungan daripada akaun @Muslim, yang mempunyai 6.7 juta pengikut, di sambut dengan mesej menyatakan ‘akaun tidak tersedia di India.
Ini kerana kami mematuhi permintaan undang-undang untuk menyekat kandungan ini’.
Akaun @Muslim merupakan antara sumber berita Islam paling ramai pengikut di Instagram.
Khatahtbeh turut memohon maaf kepada pengikut di India dan menggesa Meta untuk menarik balik sekatan kepada akaun tersebut.
“Apabila platform dan kerajaan cuba mendiamkan media, itu membuktikan kami berperanan dalam melaksanakan tugas.
“Kami akan terus melaporkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan,” katanya.
Tiada reaksi segera daripada kerajaan India mengenai larangan itu, yang berlaku selepas akses kepada akaun media sosial dan pemain kriket Pakistan turut disekat.
Meta juga enggan mengulas lanjut.
Perkembangan itu, yang mula dilaporkan oleh majalah teknologi Amerika Syarikat (AS), User Magazine, milik wartawan Taylor Lorenz, berlaku ketika tercetusnya keganasan terburuk dalam tempoh dua dekad antara India dan Pakistan.










