Perang India-Pakistan

Perang India-Pakistan

KELIHATAN kepulan asap akibat bedilan peluru meriam yang dilancarkan Pakistan ke bandar Poonch, Kashmir, India yang terletak di sempadan Pakistan semalam. Dalam serangan balas itu, seramai lapan rakyat India terkorban dan 29 lagi cedera. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Perang India dan Pakistan tidak lagi dapat dielakkan apabila kedua-dua negara saling berbalas serangan, sehingga mengorbankan puluhan nyawa dan memberi kesan kepada pasaran saham serta syarikat penerbangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua negara berbalas tembakan meriam dan senjata berat di sepanjang sempadan yang dipertikaikan sejak pagi semalam, selepas India melancarkan serangan peluru berpandu maut ke atas Pakistan.

Pakistan memaklumkan menembak jatuh lima jet pejuang India dalam pertempuran terburuk sepanjang lebih dua dekad antara musuh bersenjata nuklear itu.

Sekurang-kurangnya 43 kematian dilaporkan, dengan Islamabad berkata, 31 orang awam terbunuh dan 46 lagi cedera akibat serangan dan tembakan India di sepanjang sempadan.

New Delhi menambah sekurang-kurangnya 12 maut akibat tembakan Pakistan.

Dalam ‘Operasi Sindoor’ yang dilancarkan awal pagi semalam, India membedil sembilan tapak infrastruktur pengganas Pakistan.

Sebahagian sasaran tersebut dikaitkan dengan serangan terhadap pelancong Hindu, yang membunuh 26 orang di Kashmir bulan lalu.

“Tentera India menyerang kemudahan yang dikaitkan dengan kumpulan militan Jaish-e-Mohammed dan Lashkar-e-Taiba.

“Serangan itu menyasarkan kem pengganas yang berfungsi sebagai pusat latihan, landasan pelancaran dan pusat indoktrinasi, serta kemudahan menempatkan senjata dan landasan pelancaran,” kata dua jurucakap tentera India dalam taklimat di New Delhi.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan untuk meningkatkan populariti domestiknya dan menegaskan Islamabad sudah bersiap sedia untuk serangan balas.
Seorang pegawai kanan keselamatan yang enggan dinamakan memaklumkan, tiga pesawat pejuang India terhempas di dalam wilayah negara itu.
Susulan peningkatan itu, pasaran saham utama India dibuka rendah dan nilai mata wang rupee pula mencatat penurunan sebanyak 0.2 peratus.

Sementara itu, indeks utama pasaran saham Pakistan (KSE) dibuka dengan kejatuhan ketara sebanyak 5.78 peratus.

Beberapa syarikat penerbangan termasuk IndiGo, Air India dan Qatar Airways membatalkan penerbangan di kawasan tertentu di India dan Pakistan berikutan penutupan lapangan terbang dan ruang udara.

Ekoran penutupan itu juga, Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan semua penerbangan ke dan dari Amritsar telah digantung sementara sehingga 9 Mei.

MAS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengubah laluan penerbangan MH2 ke London Heathrow (LHR) dan MH22 ke Paris Charles de Gaulle (CDG) pada 6 Mei.

Penganalisis Asia Selatan berpangkalan di Washington, Michael Kugelman pula menjangkakan konflik kedua-dua negara lebih buruk berbanding insiden pada 2019.

“Kita kini menyaksikan serangan dan serangan balas. Apa yang berlaku selepas ini akan menjadi petunjuk paling penting sejauh mana seriusnya krisis ini boleh berkembang,” katanya. – AGENSI

 

SEJARAH KRISIS INDIA-PAKISTAN

1947: Pembahagian India-Pakistan

Pembahagian tergesa-gesa mencetuskan keganasan yang mengorbankan lebih sejuta nyawa dan memaksa 15 juta orang berpindah.

1965: Perang Kedua Kashmir

Ribuan terbunuh sebelum gencatan senjata dicapai pada bulan September hasil usaha Kesatuan Soviet dan AS.

1971: Penubuhan Bangladesh

Pakistan cuba menindas gerakan kemerdekaan di Pakistan Timur, dengan kira-kira tiga juta terbunuh dan jutaan melarikan diri ke India.

India campur tangan dan membantu membentuk negara Bangladesh.

1989-1990: Pemberontakan di Kashmir

Puluhan ribu tentera, pemberontak dan orang awam terbunuh, di mana India menuduh Pakistan menyalurkan dana serta latihan ketenteraan kepada pemberontak.

1999: Perang Kargil

Pakistan ditekan oleh AS untuk menarik diri selepas laporan risikan menunjukkan Islamabad mengerahkan sebahagian daripada senjata nuklear mendekati zon konflik.

2019: Serangan Pulwama

Serangan bunuh diri di Pulwama membunuh 40 anggota keselamatan India.

India yang sibuk berkempen untuk pilihan raya umum membalas dengan serangan udara ke atas kem militan di wilayah Pakistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN