PETALING JAYA: Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) bersama Samaiden Group Berhad (Samaiden) memperkenalkan inisiatif kemampanan penting melalui perkongsian tenaga solar yang dijangka menjana penjimatan kos tenaga jangka panjang kira-kira RM41.3 juta.
Menurut kenyataan, kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam komitmen Hektar REIT dan Samaiden terhadap kemampanan, sejajar peralihan tenaga boleh diperbaharui Malaysia dan sasaran pengurangan karbon jangka panjang.
“Perkongsian ini akan menyaksikan sistem solar fotovoltaik (PV) dipasang di lima pusat beli-belah Hektar REIT di bawah model modal pendahuluan sifar-strategi inovatif yang menyelaraskan keuntungan dengan tindakan yang mementingkan alam sekitar.
“Samaiden akan mengetuai pelaksanaan hujung ke hujung dari reka bentuk dan pemasangan kepada operasi dan penyelenggaraan, manakala Hektar REIT akan mendapat manfaat daripada kadar bekalan tenaga bersih yang tetap.
“Inisiatif itu diunjurkan menjana penjimatan kos tenaga jangka panjang kira-kira RM41.3 juta sepanjang tempoh perkongsian sambil mengelak anggaran 98,640 tan pelepasan karbon-bersamaan dengan mengalihkan ribuan kenderaan dari jalan raya atau menanam berjuta-juta pokok,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Zainal Iskandar Ismail berkata, perkongsian itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan kemampanan yang merupakan asas kepada strategi pengurusan tenaga syarikat.
“Dengan menyepadukan sistem PV suria atas bumbung di seluruh pusat beli belah kami, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, tetapi juga meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan jumlah penggunaan tenaga elektrik.
“Ia berpotensi untuk menyokong strategi tahunan sehingga 15 peratus tahun ini, selain komitmen iklim sambil memberikan pulangan ketara kepada pemegang unit, penyewa dan komuniti kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, kerjasama itu sejajar dengan misi kumpulan untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih Malaysia.
“Program solar sifar perbelanjaan modal (zero capex) kami menyediakan peluang kepada perniagaan untuk mengintegrasikan penyelesaian tenaga mampan tanpa halangan kewangan.
“Ia sekali gus membolehkan mereka menumpukan pada kemapanan dan keuntungan operasi jangka panjang.
“Sebagai salah satu pembekal tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Malaysia, Sarmaiden komited untuk menyampaikan penyelesaian solar inovatif yang menyokong pengurangan karbon dan meningkatkan daya tahan tenaga.
“Dengan bekerjasama dengan pemain industri yang berfikiran ke hadapan seperti Hektar REIT, kami berharap dapat memacu penggunaan tenaga solar yang lebih besar dalam sektor komersial dan runcit,” katanya.-UTUSAN










