TELAVIV: Ratusan sekolah dan tadika di wilayah tengah Israel terpaksa ditutup susulan tindakan mogok tidak rasmi oleh guru yang membantah keputusan potongan gaji, lapor media tempatan.
Tindakan itu bermula selepas Kesatuan Guru Israel mencapai persetujuan dengan Kementerian Kewangan pada Ahad untuk mengurangkan kadar potongan gaji kepada 0.95 peratus bermula Mei hingga Disember 2025, berbanding cadangan awal sebanyak 3.3 peratus.
Perjanjian tersebut bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan guru yang bertindak mengambil cuti sakit sebagai tanda protes.
Tindakan itu menyebabkan ratusan sekolah dan tadika tidak beroperasi selama tiga hari berturut-turut.
Golongan guru menyifatkan potongan itu sebagai tindakan ‘mengalah’ oleh pemimpin kesatuan, Yaffa Ben David dalam rundingannya bersama Kementerian Kewangan.
Menurut saluran berita Israel Channel 12, lebih 400 institusi pendidikan di wilayah tengah negara itu ditutup akibat mogok berterusan tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan mengarahkan pentadbiran daerah untuk memanggil individu yang didakwa menghasut guru melakukan ‘aktiviti haram’ bagi sesi pendengaran selain menuduh tokoh politik turut menyertai bantahan tersebut.
Anggaran kementerian menunjukkan antara 17,000 hingga 20,000 guru iaitu kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja pendidikan negara itu telah melaporkan diri sebagai sakit pada hari Isnin.– ANADOLU










