BAGAN SERAI: Individu bukan Islam dikatakan tidak mengetahui tanah yang dibelinya merupakan milik Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, individu tersebut yang hanya dikenali sebagai Tan hanya membeli tanah masjid itu daripada orang lain.
Menurutnya, pihak masjid menyedari sebahagian daripada struktur masjid itu dibina di atas tanah milik persendirian pada tahun 2015, selepas kerja-kerja mengukur tanah perkuburan.
“Asalnya tanah masjid diwakafkan secara lisan kepada pihak masjid namun telah dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid kepada seorang lelaki bukan Islam dari Bukit Mertajam.
“Kemudiannya tanah itu sekali lagi dijual melalui seorang broker kepada individu bernama Tan yang menetap di Kuala Lumpur. Pemilik baharu tidak mengetahui tanah yang dibelinya adalah tanah masjid yang menempatkan struktur dewan muslimah, tandas wanita dan lebih 30 kubur,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurutnya, pemilik baharu merasakan ditipu dalam urusan pembelian tersebut dan telah beberapa kali hadir bersama peguam untuk berbincang dengan jawatankuasa masjid.
Katanya, Tan menawarkan dua pilihan, sama ada pihak masjid membeli semula tanah berkenaan atau merobohkan struktur sedia ada.
“Pada awalnya, pemilik tanah menawarkan harga yang sangat tinggi menyebabkan pihak masjid tidak mampu membelinya. Selepas saya mengambil alih jawatan pengerusi, dia sekali lagi datang dan menurunkan harga kepada RM1.8 juta.
“Pihak masjid memohon tempoh untuk mengumpulkan dana bagi membeli tanah lelaki tersebut dan pemilik bersetuju tanpa menetapkan tempoh namun mengingatkan tanah itu akan dijual sekiranya ada pembeli dan struktur masjid mungkin akan dirobohkan,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan semasa, Yusuf berkata, pihaknya juga menerima pertanyaan daripada pendakwah terkenal, Ustaz Firdaus Wong yang berhasrat membantu mengumpul dana dengan menguar-uarkan nombor akaun bank masjid di platform media sosial miliknya untuk orang ramai menderma.
“Kita maklumkan kepada beliau bahawa sumbangan akan dimasukkan ke dalam akaun khas dan pengisytiharan berkala akan dibuat untuk memastikan ketelusan serta mengelak fitnah,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu dengan nombor akaun 08077010014368.-UTUSAN










