India mula serang Pakistan, bunuh lapan nyawa

India mula bedil Pakistan, bunuh lapan nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEWDELHI: Ketegangan terus memuncak antara India dan Pakistan selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Islamabad.

Serangan berlaku susulan insiden berdarah bulan lalu melibatkan pelancong di Kashmir yang ditadbir India yang menurut New Delhi didalangi oleh kumpulan berpangkalan di Pakistan.

Islamabad menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam serangan itu.

Menurut kenyataan kerajaan India awal hari ini, serangan itu menyasarkan infrastruktur pengganas di Pakistan serta Jammu dan Kashmir yang diduduki Pakistan di mana serangan ke atas India dirancang dan dilancarkan.

“Tindakan kami terhad, tepat dan tidak bertujuan untuk meningkatkan ketegangan. Tiada fasiliti ketenteraan Pakistan yang menjadi sasaran. India telah menunjukkan tahap kawalan yang tinggi dalam memilih sasaran dan kaedah pelaksanaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan tentera Pakistan, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan tersebut.

Peluru berpandu dilaporkan mengenai beberapa kawasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan antaranya bandar Muzaffarabad dan Kotli serta wilayah timur Punjab.

Jurucakap tentera Pakistan memberitahu saluran Geo bahawa sekurang-kurangnya lima lokasi termasuk dua buah masjid terkena serangan.

Beliau menambah tindak balas dari pihak Pakistan sedang dilaksanakan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Di Punjab, sebuah masjid di Bahawalpur terkena peluru berpandu, menyebabkan seorang kanak-kanak terbunuh dan dua orang awam cedera, menurut kenyataan tentera Pakistan.

Susulan serangan itu, kedua-dua pihak berbalas tembakan artileri berat di sekurang-kurangnya tiga lokasi sepanjang sempadan di Kashmir yang menjadi pertikaian, menurut laporan agensi berita Reuters yang memetik sumber polis dan saksi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kedua-dua negara agar mengenakan kawalan maksimum.

“Setiausaha Agung amat bimbang dengan operasi ketenteraan India merentasi Garis Kawalan dan sempadan antarabangsa. Beliau menyeru kedua-dua negara agar mengelak sebarang peningkatan ketenteraan.

“Dunia tidak mampu menanggung akibat konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan,” kata jurucakap Guterres.- ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×