MIAMI: Pengalaman indah bakal ibu hampir berakhir dengan tragedi apabila sebuah pesawat era Perang Dunia Kedua terhempas di pantai ketika sesi fotografi kehamilan sedang diadakan.
Lapor Metro, beberapa gambar yang dirakam menunjukkan detik menakutkan ketika pesawat itu terhempas di laut, berhampiran lokasi sesi fotografi Kristan Othersen di Florida pada bulan lalu.
Othersen yang ketika itu hamil 30 minggu atau kira-kira tujuh bulan, berada bersama pasangannya, Kyle Johnson, 23, di pantai yang terletak di selatan Cape Canaveral.
Pesawat jenis TBM Avenger dilaporkan terlibat dalam satu pertunjukan udara.
Rata-rata pengunjung sedang berenang di laut tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika pesawat tersebut terbang begitu rendah di pantai berkenaan.
Dilaporkan, enjin pesawat itu gagal berfungsi dan terhempas di laut.
Ibu Othersen, Amber yang turut berada di pantai tersebut sempat merakam gambar detik pesawat terhempas ke laut.
Juruterbang pesawat mahupun pengunjung di pantai tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anak perempuan saya mahu mengambil gambarnya di pantai. Kami berada di sana selama 10 minit dan cucu saya, Mia yang berusia 14 tahun sedang berenang.
“Apabila saya perasaan pesawat itu terbang agak rendah, saya sempat merakam gambarnya sehingga ia terhempas,” katanya.











