Perebutan Timbalan Presiden PKR sengit?

Perebutan Timbalan Presiden PKR sengit?

RAFIZI RAMLI dan SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dijangka lebih terbuka dan sengit jika berlaku pertembungan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution dan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Meskipun, Menteri Dalam Negeri itu belum menyatakan sebarang ketetapan selepas tarikh akhir pencalonan dilanjutkan kepada 8 Mei ini, ramai menjangkakan beliau sekali lagi akan merebut jawatan nombor dua parti itu.

Ketua cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, beliau menjangkakan Rafizi akan mempertahankan jawatan dan Saifuddin juga berkemungkinan bertanding.

Katanya, jika Saifuddin bertanding, persaingan merebut jawatan itu dilihat agak menarik dan lebih terbuka melalui kaedah pengundian secara perwakilan berbanding satu ahli satu undi seperti pemilihan sebelum ini yang menyaksikan Rafizi menang besar.

Ujarnya, bagaimanapun, beliau secara peribadi tetap melihat Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mempunyai kelebihan mempertahankan jawatan berkenaan.

“Pertandingan di dalam PKR ini menunjukkan semangat kekeluargaan di mana siapa yang kalah pun tetap diberikan peranan tanpa pernah dipinggirkan. Jika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden itu juga bukan perkara pelik malah lebih baik dalam menyuburkan proses demokrasi di dalam parti,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan ramai pemerhati politik melihat Saifuddin sepatutnya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR kerana peluang beliau dalam pemilihan kali ini lebih cerah berbanding ketika pertembungan dengan Rafizi sebelum ini.

Meskipun Saifuddin masih belum menyatakan pendirian namun keputusan di 222 cabang PKR yang menyaksikan ramai daripada kem Rafizi tewas memberi petunjuk kepada Saifuddin perlu mencabar Rafizi bagi perebutan jawatan nombor dua parti itu

Antara pemimpin atau nama besar yang dikaitkan dengan Rafizi tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini ialah seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Malah, di Selangor, negeri di mana Rafizi bertapak sebagai pimpinan cabang, beberapa calon dikaitkan rapat dengan beliau seperti Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung juga gagal memperkukuh kedudukan Rafizi apabila tewas di kawasan masing-masing selain ramai lagi pemimpin di negeri-negeri lain tewas.

Selain Saifuddin, nama Nurul Izzah Anwar juga disebut-sebut untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden itu.

Ia selepas Ketua PKR cabang Tapah yang juga Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang disandang Rafizi, sekali gus mengharapkan pencalonan tersebut mendapat sokongan seluruh anggota dan membuka lembaran baru dalam usaha memacu parti itu sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.

Sementara itu, Noor Amin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, beliau tidak melihat Nurul Izzah akan bertanding jawatan Timbalan Presiden meskipun beliau cukup popular dalam kalangan ahli.

Katanya, beliau melihat Nurul Izzah akan kekal bertanding jawatan Naib Presiden memandangkan puteri reformasi itu juga masih muda dan banyak masa lagi untuknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×