Pasangan kekasih curi barang kemas RM110,000

Pasangan kekasih curi barang kemas RM110,000 mengaku tidak bersalah

ABDUL Hafiz Mohamed Samsudin dan Nur Farwizah Mohd. Yusof di hadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri barang kemas, di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasangan kekasih yang tular kerana mencuri ba­rang kemas bernilai lebih RM110,000 sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Abdul Hafiz Mohamed Samsudin, 25 dan Nur Farwizah Mohd. Yusof, 23, mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

Berdasarkan pertuduhan, pa­sangan itu dituduh secara bersama-sama mencuri dua bentuk cincin dan gelang ta­ngan emas dengan berat keseluruhan 244.08 gram berharga RM111,743.55.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua barangan kemas tersebut dicuri dekat sebuah kedai emas di Seksyen 7, di sini, kira-kira pukul 4 petang pada 26 April lalu.

Abdul Hafiz dan Nur Farwizah sehubungan itu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi menca­dang­kan jaminan sebanyak RM6, 000 untuk setiap tertuduh.

Peguam Salahuddin Salam yang mewakili Abdul Hafiz memohon jaminan rendah susulan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung keluarganya.

Sementara Nur Farwizah pula dalam mitigasi yang dibuat Peguam Mohd. Razlan Jalaluddin memaklumkan pihak keluarga bersedia jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Anak guam saya masih bujang dengan sebelum ini pernah bekerja sebagai ‘live host’ dengan taraf pendidikan hanya tingkatan lima,” jelasnya.

Penolong Pendaftar Mah­kamah Majistret kemudian menetapkan jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dan sebutan semula ditetapkan 11 Jun depan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan persembunyian sepasang kekasih yang disyaki mencuri barang kemas bernilai lebih RM111,000 dekat sebuah kedai emas di sini, 26 April lalu berakhir apabila mereka dicekup polis pada 2 Mei lalu.

Dua suspek lelaki dan wanita berusia 25 serta 23 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, kira-kira pukul 3.20 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini