GAZA: Hamas tidak lagi berminat untuk mengadakan rundingan gencatan senjata dengan Israel dan menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan ‘perang kebuluran’ terhadap Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Basem Naim menegaskan dunia perlu memberi tekanan kepada kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu agar menghentikan jenayah kebuluran dan pembunuhan Israel di Gaza.
“Tiada guna untuk meneruskan rundingan atau mempertimbangkan cadangan gencatan senjata baharu selagi perang kebuluran dan pemusnahan diteruskan di Gaza,” katanya kepada AFP.
Kenyataan bekas Menteri Kesihatan Gaza itu dibuat sehari selepas tentera Israel mengumumkan perluasan operasi yang akan merangkumi pemindahan sebahagian besar penduduk Palestin.
Hampir semua penduduk Gaza dipindahkan, kebanyakannya lebih daripada sekali, sejak perang tercetus pada Oktober 2023.
Wilayah itu kini berada di bawah sekatan penuh Israel sejak 2 Mac, menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata rapuh selama dua bulan.
Terdahulu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, dalam temu bual radio hari ini menyifatkan rancangan Israel untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Beliau turut menuduh kerajaan Netanyahu melanggar undang-undang kemanusiaan.
Setakat semalam, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 2,459 orang terbunuh sejak 18 Mac lalu, menjadikan keseluruhan korban mencecah 52,567.











