PETALING JAYA: Kelab-Kelab yang bertanding dalam saingan Liga Super musim depan perlu menetapkan pembayaran gaji berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing agar masalah tunggakan gaji tidak berulang.
Musim 2024-2025 iaitu saingan liga utama tempatan yang julung kali dilangsungkan selama setahun memberi impak cukup besar selepas beberapa kelab berdepan tunggakan gaji berbulan-bulan sehingga terpaksa memilih untuk menutup pasukan.
Justeru, pengajaran ini perlu diambil iktibar oleh pengurusan kelab terutamanya untuk berbelanja dengan mengukur baju di badan sendiri bagi memastikan pasukan terus ‘bernyawa’ dan tidak berdepan masalah gaji.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menjelaskan berpendapat mungkin sudah tiba masanya kelab sendiri meletakkan gaji siling berdasarkan kemampuan kewangan dimiliki.
Katanya, tindakan sebegini penting bagi memastikan kelab tidak berdepan masalah tunggakan gaji terus berulang pada musim baharu.
“Secara anggaran kasar, kita melihat pasukan perlu ada sekurang-kurangnya RM30 juta untuk semusim dan dua pertiga daripada bajet itu akan pergi kepada pembayaran gaji pemain dan barisan kejurulatihan.
“Ini bukanlah satu kemestian tetapi lebih kepada cadangan yang boleh digunakan kepada pasukan iaitu pasukan perlu tetapkan sendiri berapa gaji yang mereka mampu bayar berdasarkan kategori pemain itu.
“Sebagai contoh, kalau untuk pemain bertaraf kebangsaan, mungkin sekitar RM10,000 ke RM20,000 dan untuk pemain import, tidak lebih RM30,000. Suka atau tidak suka, pasukan perlu letakkan penanda aras sendiri kerana pembayaran gaji bukan untuk sebulan dua tetapi semusim.
“Pasukan perlu guna pendekatan ambil (tawaran gaji) atau abaikan dan dalam situasi semasa di mana pasukan pun kian berkurangan, pemain tidak boleh bermimpi untuk bermewah-mewah,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu.
Untuk rekod, isu tunggakan gaji tetap berlanjutan pada musim ini dan menjadi lebih parah apabila ada pasukan yang berdepan tunggakan sehingga melebihi enam bulan.
Faktor kewangan yang kian parah menyaksikan beberapa pasukan mengambil pendekatan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super antaranya Perak FC menjadi pasukan pertama mengibar ‘bendera putih’ untuk terus bersaingan pada musim baharu nanti.
Selain itu, status pasukan yang berdepan tunggakan gaji begitu serius seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC turut menimbulkan tanda tanya sama ada mereka berjaya mendapat lesen kebangsaan bagi musim baharu ataupun tidak, jawapan tersebut akan diketahui selepas 10 Mei ini. – UTUSAN










