‘Jual dahulu, bina kemudian’ punca rumah tidak terjual?

‘Jual dahulu, bina kemudian’ punca rumah tidak terjual?

PRAKASH P. KALIVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan pemaju hartanah `jual rumah dahulu, bina kemudian’ atau ‘sell and build’ dikenal pasti sebagai antara punca kepada lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA), Prakash P. Kalivanan berkata, pendekatan tersebut membolehkan pemaju mengelakkan kerugian dengan hanya memulakan pembinaan selepas mencapai 40 peratus jualan iaitu titik pulang modal dengan sedikit keuntungan.

Menurut beliau, perkara itu jelas terbukti apabila meski­pun banyak rumah masih be­lum terjual, hampir tiada syarikat pemaju perumahan yang berdepan masalah kewangan atau risiko muflis.

“Pemaju akan menunggu jualan mencecah 40 peratus dahulu sebelum membina. Walaupun 10 hingga 20 peratus rumah tidak terjual, mereka masih menikmati keuntungan sekitar 40 hingga 50 peratus.

“Ini sebabnya walaupun banyak rumah tidak terjual, syarikat pemaju masih kukuh dan tidak muflis. Harga rumah juga tidak turun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 23,149 unit kediaman pelbagai kategori yang siap dibina bernilai RM13.94 bilion masih tidak terjual sehingga akhir tahun 2024.

Kondominium dan apartmen membentuk 60.5 peratus daripada jumlah kediaman siap dibina tidak terjual menjadikannya jenis rumah yang ter­tinggi tidak terjual.

Prakash berkata, meskipun kerugian rumah tidak terjual ditanggung pemaju, negara tetap terkesan dari segi pusingan ekonomi kerana aset-aset ini tidak diniaga atau digunakan.

Beliau berkata, rumah-rumah yang siap dibina tetapi tidak terjual wajar disewakan bagi menangani isu lambakan serta membantu rakyat yang belum mampu membeli rumah.

“Ramai yang tidak mampu beli rumah tetapi boleh menyewa. Penyewaan ini memberi dua manfaat iaitu kurangkan lambakan rumah tidak terjual dan pada masa sama menyediakan kediaman mampu milik untuk golongan B40 dan M40.

“Kadar sewa pula perlulah bersesuaian dengan kemam­puan penduduk setempat,” katanya.

Prakash berkata, kerajaan perlu mengenakan cukai rumah tidak terjual atau ‘overhang tax’ sebanyak satu peratus daripada nilai hartanah terhadap rumah tidak terjual atau tidak disewakan dalam tempoh setahun selepas siap dibina.

“Langkah ini akan memaksa pemaju merancang dengan lebih teliti dan memastikan projek dibina menepati permintaan sebenar pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan Akta Sewaan Kediaman yang telah lama tertangguh sejak tahun 2020.

Prakash berkata, sejak tahun 2022, kadar pemilikan rumah di Malaysia telah melepasi 76 peratus dan trend global menunjukkan semakin ramai rakyat cenderung untuk menyewa berbanding membeli rumah.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius pendekatan penyewaan sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka sederhana dan panjang dalam isu perumahan negara.

“Di negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Jerman, sudah ada akta khas untuk menyelia hubungan antara pemilik dan penyewa.

“Malaysia juga perlu ada akta ini demi melindungi hak kedua-dua pihak secara holistik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×