Nuren Group sasar pasaran luar Asia Tenggara dalam tiga tahun

Nuren Group sasar pasaran luar Asia Tenggara dalam tiga tahun

PETRINA GOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nuren Group, syarikat yang memfokuskan penyediaan platform digital dalam bidang keibubapaan, pendidikan dan kesejahteraan kehamilan, menyasarkan untuk mengembangkan pasarannya di luar Asia Tenggara bagi memperluaskan pengaruh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Petrina Goh berkata, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada pasaran yang berpotensi tinggi dalam sektor keibubapaan dan kehamilan.  

“Pendekatan kami melibatkan penilaian teliti terhadap pasaran-pasaran ini untuk mengenal pasti kawasan dengan permintaan tertinggi terhadap penyelesaian yang ditawarkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, kami juga merancang untuk memperkenalkan ciri, perkhidmatan dan produk baharu yang direka khusus untuk memenuhi keperluan pengguna kami yang sentiasa berubah. 

“Ini termasuk mempertingkatkan keupayaan platform kami serta memperluas rangkaian tawaran untuk memberikan nilai lebih tinggi kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.  

Menurutnya, pasaran teknologi keibubapaan kini berkembang pesat, dipacu oleh kadar kelahiran yang tinggi dan penggunaan digital yang semakin meningkat.

“Kami optimis dalam memberi tumpuan kepada penyesuaian mengikut lokaliti, agar tawaran kami lebih relevan dan menarik bagi setiap pasaran tempatan.

“Saiz pasaran di Asia Tenggara kini dianggarkan sekitar AS$7 bilion (RM30.21 bilion), dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara lapan hingga 10 peratus, seperti yang dilaporkan oleh Euromonitor International.

“Potensi pertumbuhan dalam sektor ini kekal kukuh, disokong oleh peningkatan kesedaran dan permintaan terhadap penyelesaian kesejahteraan keibubapaan dan kehamilan, sekali gus meyakinkan kami terhadap sasaran yang ditetapkan,” ujarnya.  

Beliau berkata, Nuren Group turut meneroka peluang pengembangan ke kawasan yang belum diterokai di Asia Tenggara untuk memperluaskan jangkauan pasaran.  

“Strategi ini memberi kami kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan pasaran dan mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor teknologi keibubapaan,” katanya. 

Tambahnya, Nuren Group telah melaksanakan strategi berkesan untuk meningkatkan bilangan serta penglibatan pengguna dengan lebih lima juta pengguna aktif di pelbagai platform.

“Program keahlian dan kelab berjaya menarik penyertaan melalui penganjuran bengkel dan penyediaan kit eksklusif seperti Kit Ibu Baharu dan Kit Superkids.

“Kami juga menawarkan kandungan berkualiti yang disahkan oleh pakar perubatan, yang mampu menarik minat serta mengekalkan pengguna. Pada masa sama, penglibatan aktif di media sosial turut membantu membina komuniti yang kukuh.

“Selain itu, program rujukan yang diperkenalkan turut menggalakkan pengguna menjemput rakan mereka, sekali gus memperluas capaian kami,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×