SEMASA pelancaran Suzuki Jimny generasi keempat yang awal, ia cuma ada dua pintu dan tanda harga bermula dari RM160,000.
Ramai tertarik tetapi dengan dimensi yang hampir sama seperti model-model Jimny terdahulu dan kapasiti enjin yang juga kekal sama (1.5L), ramai pula yang memberi alasan ia terlalu kecil dan tidak praktikal.
Mereka yang mampu, terus membeli tanpa memikirkan alasan lain kerana jika hendak sesuatu yang besar, beli sahajalah Honda CR-V.
Pertengahan tahun lalu, Naza Eastern Motor, pengedar rasmi Suzuki (empat roda) melancarkan pula varian dengan empat pintu penumpang dan harganya naik RM40,000 kepada RM200,000.
Alasan lain pula diberikan, terlalu mahal dengan kadar kelengkapan yang terlalu minimal.
Sekali lagi, mereka yang mampu tidak cakap banyak tetapi terus membeli kerana jika mahukan mainan yang banyak, beli sahaja kenderaan utiliti sukan (SUV) dari China yang melambak sekarang.
Ya, Jimny bukan lagi jentera ladang yang dibeli oleh tauke untuk pekerjanya. Jimny sekarang adalah kenderaan untuk tauke itu sendiri dan pekerjanya memandu Toyota Hilux yang jauh lebih murah.
Dari segi teknikal, Jimny lima pintu ini masih menggunakan resipi yang sama iaitu badan yang dipasang di atas kerangka ladder seperti trak-trak pikap dan SUV lasak seperti Toyota Fortuner, Jeep Wrangler dan Toyota Land Cruiser.
Cuma jika kita bandingkan saiz, Jimny memang kecil molek. Walaupun varian ini 300 milimeter (mm) lebih panjang dari Jimny tiga pintu, ia masih lagi lebih pendek dari Perodua Alza. Jimny lima pintu ini cuma 3.85 meter panjang dan beratnya cuma 1.2 tan.
Enjin juga kekal sama iaitu 1.5L tanpa turbo yang menghasilkan 102 PS dan 130 Nm, dipadankan dengan transmisi empat kelajuan automatik siap dengan butang over drive, seperti awal tahun 90an.
Kadar pecutan juga bukan sesuatu yang peminat Jimny pentingkan kerana dari pegun ke 100 kilometer sejam (kmsj), ia memerlukan 17.2 saat. Halaju maksimum juga cuma 140 kmsj.
Tak cukup dengan itu, kelengkapan yang diberikan membuatkan Perodua Alza dan Aruz terasa seperti sebuah Mercedes-Benz. Suzuki ini masih mengekalkan kunci yang memerlukan anda menyucuk tengkuk stereng untuk menghidupkan enjin.

Pada harga RM200,000, tidak ada tempat duduk elektrik, tidak ada fungsi lampu tinggi automatik, fungsi auto wind hanya ada pada tingkap pemandu, anda masih perlu tekan punat pada cermin pandang belakang untuk mengurangkan silau lampu kereta belakang dan anda cuma ada kamera undur yang kabur serta beberapa ‘sensor’ untuk mengundur.
Paling canggih ialah skrin sesentuh sebesar 9.0 inci dengan nirwayar Apple CarPlay dan Android Auto. Itulah kebanggaan anda dari segi teknologi.
Cuma peminat tegar pacuan empat roda (4×4) akan tertarik dengan kewujudan tombol gear untuk pacuan dua atau empat roda. Transmisi 4×4 ini masih lengkap dengan lower transfer case bagi pilihan 2H, 4H dan 4L.
Ia masih kekal 210 mm tinggi dari permukaan bumi, jarak bamper ke roda masih lagi pendek dan membolehkan ia mendaki atau menuruni cerun tanpa tersagat bamper.
Saiz yang kompak membenarkan pemandu menyelit di antara pokok sawit seperti seekor lipas kudung dan berat yang minimum serta saiz tayar yang nipis menjadikan ia kenderaan 4×4 paling lincah menari di atas lumpur tanpa risau terbenam.
Saiz tangki 40L itu memungkinkan anda memandu lebih dari 400 km, terbukti dalam pengembaraan penulis dari Lembah Klang ke Nenasi, Pahang melalui jalan-jalan persekutuan.
Sistem gantungan tiga sambungan dengan gandar tegar dan pegas gegelung (3-link rigid axle with coil spring) mampu menyerap hentakan dari lubang sebesar kawah bulan tetapi ia lembut, bermakna selekoh tajam ialah sesuatu yang ia tidak gemari.
Bayangkan trak pikap dengan sistem gantungan yang lembut, itulah Jimny, baik yang pendek ataupun yang panjang ini.
Tenaga dari enjin itu juga cuma ala kadar, bermakna ia lebih selesa di semua jenis jalan raya kecuali lebuh raya. Sebarang pendakian pula akan memberikan ‘halwa telinga’ dalam bentuk raungan enjin kepada pemandu.
Kabin juga masih sama, ia cuma boleh memuatkan empat orang penumpang (tempat duduk belakang cuma ada dua tali pinggang keledar) tetapi penumpang belakang sekarang boleh memiliki sepasang kaki kerana ruang yang lebih luas.
Anda juga tidak perlu memilih antara beg pakaian atau makanan kerana ruang bonet yang telah membesar dari 85 liter untuk Jimny tiga pintu kepada 211 liter untuk varian ini memungkinkan anda membawa kedua-dua kargo tersebut.
Penulis cukup teruja dengan Jimny ini kerana kebolehannya untuk meredah kawasan offroad dengan mudah, saiz yang kompak untuk menyelit di mana-mana sahaja. Sebagai peminat dan pemilik jentera-jentera 4×4, Jimny ialah satu pilihan kompak dan harga yang premium itu menjadikan ia semakin diminati.
Ada benda yang boleh dijual dengan murah untuk mendapatkan saiz pasaran yang besar tetapi ada juga produk yang mahal walaupun ringkas. Suzuki mungkin menggunakan nilai-nilai nostalgia untuk ‘menghalalkan’ harga yang sebegitu tinggi tetapi bagi mereka yang menghargai kesemua itu, duit hanyalah kepingan wang yang boleh dicari.
Sayangnya, jika anda membeli dan hanya memandunya ke pasar raya atau ke pejabat di tengah pusat bandar, anda kufur nikmat sebenar Jimny ini.
Spesifikasi
Suzuki Jimny 5-pintu
Enjin: 1.5L K15B 4-silinder
Kuasa maksimum: 102 PS @ 6,000 rpm
Daya kilas maksimum: 130 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: 4-kelajuan automatik dengan AllGrip Pro part-time 4X4
Pecutan 0-100 kmsj: 17.2 saat
Halaju maksimum: 140 kmsj
Harga: Bermula dari RM199,950 tanpa insurans (untuk varian satu ton warna)-UTUSAN










