PROJEK Batiq di S2 Heights Aman, Seremban 2, Negeri Sembilan menawarkan 177 unit rumah teres dua tingkat bertaman yang direka dengan teliti untuk memenuhi kehendak gaya hidup moden dan elegan.
Ia ditawarkan kepada pembeli, sambil mengangkat warisan seni batik tradisional sebagai inspirasi utama rekaan.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, fasa pertama Batiq menawarkan 82 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM80 juta yang dilengkapi dengan empat bilik tidur dan empat bilik mandi, menyediakan ruang yang luas dan selesa untuk seluruh keluarga.
“Setiap kediaman berharga bermula dari RM878,800 dengan keluasan tanah 28 x 60 kaki dan keluasan binaan 2,142 kaki persegi untuk lot tengah dan 2,174 kaki persegi untuk lot hujung.
“Rekaan rumah ini juga menampilkan elemen seni bina kontemporari yang diinspirasikan daripada motif batik yang melambangkan keanggunan budaya yang disesuaikan dengan keperluan moden,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, laluan masuk utama ke Batiq turut direka dengan landskap hijau yang menyambut, mencipta suasana ketibaan yang eksklusif dan tenang.
“Setiap unit dilengkapi taman peribadi seluas 10 kaki dengan tumbuhan asli yang memperindah ruang dan memperkaya biodiversiti, membawa kesegaran semula jadi ke dalam kehidupan harian,” ujarnya.
Projek Batiq terletak dalam kawasan S2 Heights Aman yang telah muncul sebagai projek terbaharu dengan keluasan 162 hektar dan GDV keseluruhan bernilai RM1.59 bilion.
Lebih daripada 17 hektar diperuntukkan untuk kawasan hijau yang mempesona, termasuk Batiq dengan latar belakang pergunungan Banjaran Titiwangsa yang mendamaikan.
Kian Soon berkata, elemen kelestarian turut diterapkan dalam pembangunan Batiq.
“Semua taman komuniti dan ruang luar dilengkapi lampu diod pancaran cahaya (LED) yang dikuasakan oleh tenaga solar bagi menyokong gaya hidup lebih mesra alam dan seimbang.
“Batiq juga menawarkan pelbagai kemudahan gaya hidup sihat seperti taman komuniti seluas 0.95 hektar, trek lari sepanjang 1.4 kilometer, taman dusun serta gelanggang serbaguna untuk aktiviti sukan seperti bola keranjang dan pickleball.
“Sebuah taman pusat tambahan seluas 0.23 hektar juga disediakan, lengkap dengan pavilion dan ruang landskap untuk perhimpunan keluarga atau sekadar menikmati ketenangan,” katanya.
Sementara itu, Batiq juga mempunyai akses mudah melalui lebuh raya utama seperti seperti Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Elite (ELITE) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) yang menghubungkan penduduk ke Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Melaka.
“Ia juga terletak berhampiran Tol Ainsdale serta stesen KTM Tiroi yang menawarkan pilihan mobiliti tambahan yang praktikal dan selesa.
“Selain itu, Batiq dikelilingi pelbagai kemudahan penting yang terletak berdekatan dengan institusi kewangan, sekolah ternama serta pusat perubatan seperti Hospital KPJ dan Hospital Columbia Asia.
“Pusat komersial seperti AEON Mall, Mydin Mall, Lotus’s, NSK Trade City, Palm Mall dan Seremban Gateway juga menambahkan nilai kepada gaya hidup seharian penduduk,” katanya.
Tambahnya, Batiq memenuhi impian mereka yang mahukan keseimbangan antara ketenangan dan keterhubungan.
“Dengan pelebaran Jalan Labu daripada dua kepada empat lorong, kami yakin aliran trafik akan menjadi lebih lancar dan menyokong perkembangan pesat S2 Heights Aman sebagai kawasan kediaman yang berprestij,” ujarnya.-UTUSAN










