TEKANAN kos sara hidup yang semakin meruncing mendorong lebih ramai rakyat Malaysia berusaha melakukan dua kerja dan tidak hanya bergantung kepada satu pekerjaan demi menampung keperluan asas harian.
Kenaikan harga barangan keperluan seperti makanan kering dan basah kini semakin membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk ibu tunggal serta mereka yang menyara keluarga besar.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad, trend ini bukan didorong oleh gaya hidup mewah, sebaliknya keperluan mendesak bagi memastikan dapur masih ‘berasap.’
Ujarnya, ini kerana kebanyakan pekerja tidak menerima kenaikan gaji tahunan atau bantuan kerajaan yang mencukupi.
“Barangan asas merujuk kepada keperluan harian seperti beras, minyak, sayur-sayuran dan lauk-pauk. Bila berlaku kenaikan harga barangan ini, ia memberi tekanan besar kepada kewangan isi rumah, terutamanya golongan B40, M40 dan mereka yang mempunyai tanggungan besar.
“Peratusan yang bekerja kerana gaya hidup adalah amat kecil. Majoriti melakukannya untuk menampung kos hidup yang terus meningkat, lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19 di mana ramai kehilangan atau terjejas sumber pendapatan utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Bashir berkata, terdapat kesan sosial dan psikologi yang ketara kepada mereka yang terpaksa bekerja lebih masa setiap hari.
“Secara positifnya, dua pekerjaan membolehkan seseorang menambah pendapatan dan mengurangkan tekanan kewangan isi rumah. Ia juga meningkatkan kemahiran dan pengalaman pekerja, yang mungkin berguna jika berlaku pemecatan secara mengejut.
“Namun begitu, tidak dinafikan bahawa kesan negatifnya jauh lebih mendalam jika tidak ditangani secara berhati-hati.
“Kepuasan masa berkualiti bersama keluarga akan terjejas, kesihatan fizikal dan mental turut terganggu. Kepenatan yang melampau boleh mencetuskan konflik rumah tangga, malah mengancam keharmonian keluarga.
“Paling membimbangkan, kurang rehat boleh menjejaskan prestasi kerja utama. Bila kerja utama terganggu, maka punca pendapatan utama pun boleh hilang,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, fenomena rakyat mengusahakan dua pekerjaan ini juga mencerminkan kegagalan sistem pasaran buruh dalam menawarkan gaji yang setimpal dengan kos sara hidup semasa.
Ujarnya, ramai rakyat tidak mempunyai pilihan selain mencari pendapatan tambahan apabila gaji sedia ada tidak mampu menampung keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan pendidikan anak-anak.
“Kita dapati majoriti yang buat dua kerja adalah dari sektor berpendapatan rendah hingga pertengahan,” katanya.
Katanya, ketidakseimbangan antara pertumbuhan gaji dan kadar inflasi menjadi antara punca utama rakyat terpaksa melakukan dua pekerjaan.
“Jika kenaikan gaji tahunan hanya dua peratus, sedangkan inflasi barangan asas seperti makanan mencecah lima hingga enam peratus setahun, jurangnya semakin besar dan lama-kelamaan ia menjerut rakyat,” jelasnya.
Mengulas mengenai implikasi jangka panjang, beliau berkata, kebergantungan kepada kerja kedua bukan penyelesaian mampan, sebaliknya boleh memberi kesan kepada produktiviti tenaga kerja dan kesejahteraan sosial negara.
“Individu yang terlalu letih kerana bekerja siang malam berisiko hilang tumpuan, terdedah kepada kemalangan jalan raya dan tidak dapat memberi komitmen kepada kerja utama,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu memperkenalkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan dasar gaji progresif, perluasan perlindungan sosial serta inisiatif peningkatan kemahiran pekerja agar mereka dapat beralih kepada pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
“Selagi struktur ekonomi kita tidak berubah dan majikan masih membayar gaji minimum untuk kerja maksimum, rakyat akan terus terperangkap dalam kitaran bekerja lebih untuk mendapat kurang,” jelasnya.
Antara pendekatan yang disarankan termasuk pelaksanaan struktur gaji progresif yang lebih adil, perluasan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja sektor tidak formal, serta pengukuhan latihan kemahiran semula agar rakyat dapat beralih kepada pekerjaan bernilai tinggi.-UTUSAN










