Sejak dia dipindahkan ke jabatan lain, tugas hakikinya berubah 100 peratus. Biarpun nama jawatannya sama dalam penjawat awam, namun tugas hakiki berlainan sama sekali. Jika dahulu tugas hakikinya melakukan kerja-kerja penerbitan buku dan jualan buku, kini berubah ke bidang lain.
Dia diarahkan oleh pengarah jabatan barunya menguruskan dana penerbitan jurnal berimpak tinggi khususnya jurnal yang berada dalam kedudukan Q1 hingga Q4. Sewaktu dia membaca surat arahan itu, mulutnya menganga besar kerana terkejut. Halkumnya turun naik seperti tersekat sesuatu.
Dia bertanya pada dirinya sendiri. Apa yang dia tahu, jurnal merupakan terbitan atau majalah berkala yang khusus dalam bidang tertentu yang ditulis secara ilmiah berdasarkan penyelidikan dalam bidang berkaitan.
Dan dia memang tahu majikannya sebuah universiti awam yang sebahagian kakitangannya adalah pensyarah yang antara tugas hakiki mereka menulis laporan penyelidikan dan dihantar ke jurnal-jurnal yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Dia turut menyemak maksud dana di kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bahawa dana bermaksud kumpulan wang untuk sesuatu tujuan atau kegunaan. Dia diberitahu oleh penyelia bahawa dana penerbitan jurnal ini khusus untuk para pensyarah yang ingin menerbitkan esei penyelidikan di jurnal-jurnal berimpak tinggi.
Dana penerbitan jurnal ini adalah satu inisiatif yang disediakan oleh pihak universiti untuk membantu menampung pembayaran yuran penerbitan. Secara tidak langsung menggalakkan para pensyarah aktif dan produktif menyelidik dan menulis serta menjadikan universiti bereputasi antarabangsa.
Penyelia mengajarnya bagaimana ingin mencari maklumat jurnal-jurnal berimpak tinggi yang berada dalam ranking Q1 hingga Q4. Laman web yang diguna untuk memastikan kesahihan jurnal adalah Journal Citation Report (JCR).
Penyelia menerangkan kepadanya bagaimana membaca data-data yang dipaparkan di JCR yang menghuraikan status jurnal yang berada dalam senarai ranking. Penyelia turut memberitahunya senarai beberapa jurnal yang disenarai hitam oleh KPT kerana meragui kewibawaan jurnal itu. Dia menerima sekeping kertas daripada Penyelia. Surat daripada KPT yang menyenaraikan nama jurnal yang disenarai hitam. Pihak universiti juga sentiasa menyiasat dan menyelidik jurnal yang dikenal pasti sebagai penerbit yang mencurigakan dan berpotensi sebagai “penerbit pemangsa”.
Setelah dia mula memahami tugas-tugas menguruskan bayaran yuran penerbitan jurnal berimpak tinggi, kebanyakan jurnal yang dibayar diterbitkan di luar negara. Dia mula menghafal beberapa jurnal yang menjadi tumpuan pensyarah menerbitkan artikel. Dia sendiri tidak menduga, sejak menguruskan bayaran yuran penerbitan jurnal, kenalannya dalam kalangan pensyarah dari pelbagai fakulti semakin ramai. Rupa-rupanya memang setiap pensyarah dikehendaki menulis artikel penyelidikan yang dihantar ke jurnal berimpak tinggi kerana itulah salah satu Pengukur Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) pensyarah.
Setiap hari waktu bekerja dia didatangi pensyarah menghantar borang permohonan dana penerbitan jurnal. Begitu juga dengan panggilan telefon daripada pensyarah yang bertanya pelbagai soalan tentang jurnal.
Pensyarah yang datang dari pelbagai peringkat jawatan dan umur. Ada yang berjawatan pensyarah kanan, profesor madya dan profesor. Dia mula mengenali wajah-wajah pensyarah yang aktif menghantar artikel ke jurnal berimpak tinggi.
Namun ada juga pensyarah aktif menghantar borang permohonan tetapi dia tidak pernah mengenali wajah mereka kerana borang itu hanya dihantar oleh pelajar sarjana dan PhD seliaan mereka. Dia juga mula mengenali perwatakan pensyarah. Setiap pensyarah memiliki gelaran doktor yang telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah atau Doctor of Philosophy (PhD). Sudah sewajarnyalah dia memanggil mereka dengan pangkat doktor.
Pensyarah yang dilantik adalah insan yang berilmu dan bijaksana. Dia mesti menghormati ketika melayan mereka dengan sopan santun dan berbudi bahasa.
Suatu hari ketika dia sampai di pejabat, dia nampak seorang wanita berbangsa Cina duduk di sofa menunggu. Waktu itu jam di pejabat menunjukkan pukul 7.50 pagi. Pejabat masih belum dipenuhi staf. Baru dua tiga orang yang datang termasuk dia. Dia menghampiri wanita itu.
“Cik hendak jumpa siapa?” Dia bertanya.
“Saya mahu jumpa pegawai yang menguruskan dana penerbitan jurnal.” Jawab wanita itu. Bahasa Melayu wanita itu cukup fasih dan lancar.
“Sayalah orangnya. Tapi saya bukan pegawai. Saya staf sokongan yang menguruskan dana penerbitan. Tolong perkenalkan diri.” Dia menjelaskan kepada wanita itu.
“Nama saya Lina Teoh. Pelajar PhD. Saya hendak tanya. Pelajar layakkah memohon dana ini?” Aju wanita itu.
“Layak. Tapi melalui penyelia. Nama penyelia dan pelajar mesti ada dalam artikel. Hanya jurnal berstatus Q1, Q2, Q3 dan Q4 dibayar universiti.” Dia menerangkan kelayakan pemohon.
“Begini, Encik. Artikel saya diterbitkan dan saya telah membayar dahulu yuran penerbitan jurnal itu RM6,000.00. Jurnal itu tersenarai di Scopus.” Wanita Cina itu memberitahu butiran tentang artikelnya.
“Hanya jurnal tersenarai di JCR yang dibayar universiti. Jurnal yang tersenarai di Scopus belum tentu tersenarai di JCR. Tolong beritahu nama jurnal itu.” Dia menjelaskan sambil bertanya lebih lanjut.
Wanita Cina itu menyebut nama jurnal itu. Dia terus menyemak di JCR. Nama jurnal itu tidak muncul. Memang sah jurnal itu hanya berstatus Scopus.
“Minta maaf. Jurnal ini tiada dalam JCR. Kenapa Cik tidak bertanya pada penyelia? Sepatutnya penyelia menyemak terlebih dahulu status jurnal ini.” Dia memberitahu dalam keadaan serba salah kerana wanita Cina itu telah membayar dengan duit yang banyak.
Wajah wanita Cina itu berubah. Raut kecewa amat ketara. Wanita Cina itu meninggalkan pejabatnya dengan wajah murung.
Dia memandang wanita Cina itu sehingga kelibatnya hilang. Dia kembali duduk di kerusi. Staf pejabat sudah semakin ramai hadir di pejabat. Tiba-tiba di hadapannya terpacak seorang lelaki. Mungkin usia lelaki itu masih muda dalam lingkungan 40-an.
“Assalamualaikum abang. Saya hendak hantar borang permohonan dana penerbitan jurnal,” beritahu lelaki itu sambil menghulurkan tangan ingin bersalam. Dia menyambut tangan lelaki itu. Tanpa disangka-sangka, lelaki itu turut mencium tangannya. Lelaki itu menghulurkan borang kepadanya.
“Waalaikummussalam. Saya semak borang ini sebentar ye!” Dia melihat borang itu sambil menyemak dokumen dilampirkan. Jelas tertera pada nama lelaki itu jawatannya, seorang profesor.
“Saya sudah semak borang ini, Prof. Semua dokumennya lengkap. Nanti saya proses,” ujar dia sambil meletakkan borang itu di rak disediakan.
“Ehhh, jangan panggil saya Prof. Abang panggil je nama saya. Abang dah lama bekerja di universiti ini. Tolong ye, Abang. Panggil je nama saya. Okey, abang. Saya minta diri dulu,” kata lelaki itu sambil menghulurkan tangan ingin bersalam. Lelaki itu kembali mencium tangannya. Dia tergamam seketika. Sungguh berbudi bahasa lelaki itu.
Sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang, tiba-tiba terpacul pula dua wanita di hadapannya. Seorang wanita muda dan seorang lagi berusia dalam lingkungan 50-an.
“Assalamualaikum. Encik, saya staf universiti di fakulti kejuruteraan. Ini anak saudara saya pelajar di fakulti kejuruteraan. Saya datang ini mahu menyelesaikan masalah anak saudara ini,” kata wanita berusia itu memulakan bicara.
“Waalaikumussalam. Masalah apa puan? Saya ini staf sokongan yang hanya diamanahkan menguruskan dana penerbitan jurnal,” ujar dia dengan nada perlahan. Wanita berusia itu menyuruh anak saudaranya bercerita.
“Begini, Encik. Saya pelajar sarjana di fakulti kejuruteraan. Artikel penyelidikan yang saya tulis, penyelia saya letak nama isterinya sebagai pengarang pertama dalam artikel. Isterinya pensyarah di universiti lain dan tidak ada
kena mengena langsung. Sedangkan data-data penyelidikan dan artikel, saya yang buat sebagai syarat wajib pelajar sarjana.” Wanita muda itu menerangkan dengan nada kecewa.
“Kenapa cik tidak mengadu perkara ini kepada pengurusan tertinggi fakulti?” Dia bertanya pelik.
“Saya sudah mengadu dan membuat laporan pada pengurusan tertinggi fakulti. Tidak ada sebarang tindakan. Senyap sampai sekarang. Jika nama saya tiada dalam artikel itu sebagai pengarang pertama, saya tidak akan lulus sebagai pelajar sarjana dan tidak akan bergraduat.” Luah wanita muda itu. Wajahnya nampak sedih.
“Sebenarnya, Encik. Ada staf di fakulti yang suruh kami jumpa Encik beritahu masalah ini. Dia kata, insya-Allah masalah akan dapat diselesaikan,” sampuk wanita berusia itu.
“Allahuakbar! Saya ini staf sokongan je. Tak ada kuasa pun. Beginilah puan dan cik, saya akan bawa perkara ini kepada pihak pengurusan tertinggi universiti. Cik tulis butiran lengkap di kertas ini. Insya-Allah, dengan izin Allah, masalah cik akan dapat diselesaikan,” kata dia semata-mata hendak menenangkan perasaan wanita muda itu.
“Terima kasih, Encik. Semoga Allah membalas jasa baik Encik,” ujar wanita berusia itu. Wanita muda itu menundukkan kepalanya tanda berterima kasih.
Kelibat kedua-dua wanita itu telah tiada. Dia ingin bersandar di kerusi melepaskan rasa penat setelah berterusan melayan tetamu. Baru sahaja dia meletakkan badan di kerusi, telefon pejabatnya berdering. Masuk kali ketiga berbunyi, baru dia mengangkat ganggang telefon. Dia kenal suara di telefon. Seorang profesor lelaki yang sudah lama berkhidmat di universiti.
“Assalamualaikum, Prof. Apa yang saya boleh bantu?” Dia memulakan bicara.
“Macam mana borang permohonan saya? Sudah proses ke belum?” Suara profesor agak nyaring.
“Minta maaf, Prof. Setelah disemak, jurnal itu tidak tersenarai di JCR. Jadi, pengurusan tertinggi tidak meluluskan kerana tidak menepati syarat. Saya akan kembalikan borang permohonan kepada Prof.” Dia memberitahu dengan nada yang tenang.
“Apa? Tidak diluluskan? Saya ini profesor! Saya ini profesor tahu! Apa guna saya dilantik profesor, jika saya tidak mendapat segala kemudahan yang universiti sediakan? Apa guna saya jadi penyelidik, jika usaha saya itu disia-siakan oleh universiti!” Suara profesor benar-benar sedang marah dan kecewa.
“Saya hanya menjalankan amanah, Prof. Itu salah satu syarat bayaran dana penerbitan jurnal berimpak tinggi.” Dia menjawab dengan suara tenang kerana tidak mahu menimbulkan perbalahan.
“Saya ini profesor! Syarat itu manusia yang buat!” Profesor meletakkan ganggang telefon. Dia mendengar seolah-olah ganggang telefon dihempas.
Dia beristighfar. Dia menenangkan perasaannya. Dia reda dengan kata-kata yang dilafaz profesor itu. Setiap manusia berhak bersuara dan melepaskan perasaan. Sepatutnya profesor tadi melepaskan kemarahannya kepada pihak pengurusan tertinggi universiti.
Dia sudah lali dengan pelbagai kerenah manusia. Apabila manusia sudah pandai berkata-kata, mulut manusia tidak pernah berhenti berkata-kata.
Apatah lagi dalam zaman serba canggih ini, kata-kata boleh diungkapkan dan disebarkan dengan pantas melalui teknologi media sosial. Dia berharap darjat kata-kata akan terpelihara oleh manusia yang sabar dan ihsan.-UTUSAN










