Hentikan spekulasi cuti Rafizi – Anwar

Hentikan spekulasi cuti Rafizi – Anwar

ANWAR IBRAHM dan RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Semua pi­hak perlu menghentikan se­­­­gera spekulasi berkaitan Men­­­­teri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa mengambil cuti panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cuti dimohon Ahli Parlimen Pandan itu hanyalah beberapa hari, bukan sehingga hujung bulan seperti dilaporkan media massa.

“Rafizi cuti hanya beberapa hari. Bagilah (dia cuti). Tak ada isu,” kata ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, tindakan Timbalan Presiden PKR itu yang mengambil cuti panjang telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi parti terutamanya ketika proses Pemilihan Parti Keadilan 2025 sedang berlangsung di seluruh negara.

Timbul juga desas-desus mengatakan Rafizi mengambil cuti selepas keputusan pemilihan di 222 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyaksikan ramai daripada kem beliau tewas.

Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi tewas ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Malah, di Selangor, negeri di mana Rafizi bertapak sebagai pimpinan cabang, beberapa calon dikaitkan rapat dengan beliau seperti Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung juga gagal memperkukuh kedudukan Rafizi apabila tewas di kawasan masing-masing selain ramai lagi pemimpin di negeri-negeri lain tewas.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berhasrat untuk mengambil cuti selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

“Saya sendiri akan bercuti selepas Sidang Kemuncak ASEAN nanti,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, sementara Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula pada penghujung Oktober, sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dijangka menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Terdahulu di Putrajaya, Anwar menerima Darjah Kebesaran Kemerdekaan, iaitu anugerah tertinggi awam daripada Kosovo sebagai pengiktirafan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap kedaulatan dan pembangunan negara itu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Kosovo, Vjosa Osmani Sadriu dalam satu majlis rasmi sempena lawatan rasminya ke Malaysia yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Darjah Kemerdekaan merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan Kosovo.

“Pengurniaan tersebut turut mengiktiraf komitmen berterusan Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo,” katanya hari ini.

Antara tokoh antarabangsa yang pernah menerima anugerah sama termasuk Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan (2014); bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush (2018); bekas Presiden Switzerland, Micheline Calmy-Rey (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).

Dalam pada itu, Vjosa turut akan menganugerahkan Darjah Kemerdekaan secara anumerta kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengenang jasa beliau yang menjadi antara pemimpin pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.

Vjosa dalam rangka lawatan sulung ke negara ini sehingga Ahad, sekali gus terus mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Malaysia telah mengiktiraf Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008 dan merupakan antara negara di Asia pertama mengambil pendekatan tersebut. Hubungan diplomatik rasmi seterusnya telah ditubuhkan pada 18 Mac 2021.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM28.55 juta dengan jumlah eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta, manakala jumlah import daripada Kosovo sebanyak RM2.63 juta.

Eksport utama Malaysia ke Kosovo adalah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta hasil kilang, manakala import daripada Kosovo terdiri daripada bahan mentah serta batuan separa berharga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×