PETALING JAYA: Di sebalik sorakan gemuruh dan kejayaan mengaut lapan pingat emas di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia minggu lalu, hakikat sebenar Khiew Hoe Yean tidak semudah disangka yang mana dia ‘berperang’ dalam dunia akademik dan sebagai atlet elit.
Perkara itu didedahkan jurulatih renang negara, Eric Anderson yang menyifatkan atlet berusia 23 tahun itu sebagai contoh bagaimana seorang perenang elit perlu membayar ‘harga tinggi’ untuk kekal relevan menjelang Sukan SEA Bangkok, Disember ini.
Walaupun terikat dengan jadual akademik yang ketat, perenang Olimpik Paris 2024 itu tetap cemerlang apabila memenangi lapan emas di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, termasuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) rampaian individu dengan catatan 2 minit 03.29 saat (s).
“Dia (Hoe Yean) juga sedang belajar untuk seimbangkan pelajaran dan renang. Dia perlu menyesuaikan diri sejak Januari, dan terbukti dia boleh selesaikan kerja,” kata Anderson.
Lebih manis, Hoe Yean kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan dalam 400m, 800m dan 1,500m gaya bebas serta dua acara lain, selain menjadi juara bertahan dua kali berturut-turut dalam 200m gaya bebas di pentas SEA Games.
Dalam pada itu, Anderson percaya anak buahnya kini berada dalam landasan terbaik untuk mencipta hatrik kejuaraan dalam acara itu di Bangkok nanti.
“Dia berenang acara 200m gaya bebas terbaik dalam beberapa tahun. Tetapi pada akhirnya, kita tidak tahu bagaimana tahap saingan di Bangkok nanti. Yang penting, dia sudah buktikan bahawa dia boleh tangani semua tekanan ini,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia hanya membawa satu pingat emas pada edisi di Filipina 2021 serta Kemboja (2023) masing-masing disumbang oleh Hoe Yean menerusi acara 200m gaya bebas. – UTUSAN









