JOHOR BAHRU: Semua persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran bergabung bagi memastikan kebajikan ahlinya lebih terjaga.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini terdapat 122 persatuan berkaitan dengan majoriti daripadanya tidak aktif.
“Kita tengok sekarang ini terlalu banyak persatuan, apabila bersara sahaja tubuh persatuan. Ada yang tidak aktif, hanya pada nama, ada jumlah ahli yang terlalu kecil dan tidak pernah mengadakan mesyuarat agung.
“Jadi, kita mahu susun semula agar persatuan yang telah diwujud benar-benar dapat memenuhi kehendak agar hal berkaitan veteran dapat dibawa secara bersepadu berbanding setiap persatuan mempunyai pandangan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor Ke-56 di Ulu Tiram, di sini, semalam..
Menurutnya, inisiatif itu bagi memastikan perjuangan dibawa veteran ATM berkesan, selain persatuan itu turut dihormati.
“Ini bagi memastikan setiap persatuan dapat bergerak secara berkesan. Semua ahli persatuan ini adalah veteran yang telah berjuang untuk negara dan jasa mereka perlu dihargai,” katanya.
Mengenai ketegangan India dan Pakistan, Mohamed Khaled berkata, negara memantau situasi berkenaan dan menyeru kedua-dua negara mengelak peperangan yang hanya merugikan dan memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Seperti negara lain dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita menyeru ketegangan itu dapat dikawal supaya peperangan dapat dielakkan,” ujarnya. – UTUSAN







