KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 3.1 peratus, terendah dalam tempoh sejak 10 tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penurunan itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah pekerjaan dan penyertaan tenaga buruh di pasaran.
Katanya, jumlah pekerjaan meningkat daripada 16.1 juta pada 2013 kepada 17.34 juta tahun ini.
“Ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang berterusan serta kejayaan pelbagai inisiatif kerajaan dalam merangsang pasaran kerja,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Steven Sim berkata, kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan prestasi positif dengan penglibatan 70.6 peratus rakyat dalam pasaran pekerjaan.
Katanya, kadar penyertaan wanita dalam sektor buruh juga meningkat kepada 56 peratus.
“Dalam masa sama, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun daripada 37.4 peratus pada 2023 kepada 36 peratus,” katanya.
Sementara itu, Steven Sim turut menyampaikan Anugerah Hari Pekerja 2025 kepada 13 individu dan organisasi melibatkan pelbagai kategori termasuk pekerja, majikan, kesatuan dan media, yang membawa pulang cek RM10,000 beserta sijil penghargaan.
Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Tertinggi) 2025 diberi kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ezlina Alias pula menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional).
Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) pula dianugerahkan kepada bekas artis budaya Istana Negara, Ramli Lani yang mewakili negara di pelbagai festival antarabangsa serta terlibat dalam lebih 150 produksi teater termasuk Sirah Junjungan dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Selain itu, Profesor virologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Chee Hui Yee menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif).
Beliau yang pakar dalam bidang diagnostik molekul dan pembangunan antivirus serta memiliki dua paten hasil inovasi penyelidikannya dan dicalonkan untuk Anugerah Akademik Negara.
Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) pula dirangkul oleh G. Tanaletchumy dari Central Force International Sdn. Bhd. yang memperkenalkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang sistematik dan membangunkan program mentorship sejak 2022.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Ahmad Shamsuri Muhammad menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Orang Kurang Upaya). Beliau juga merupakan penerima Asia University Alliance Scholar Award 2023–2024 serta aktif dalam NGO berkaitan OKU.
Bagi Anugerah Majikan Terbaik Negara (syarikat besar/GLC), anugerah tersebut dimenangi Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd.
Kategori perusahaan kecil dan sederhana pula dimenangi Schattdecor Sdn. Bhd., syarikat pengeluar filem melamin untuk perabot dan lantai.
Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara (Sektor Awam) dimenangi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) sementara kategori sektor swasta pula dimenangi Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad. – UTUSAN










