Israel guna ‘kebuluran’ perangi Gaza, sekat semua bantuan

Israel guna ‘kebuluran’ perangi Gaza, sekat semua bantuan

SEORANG ibu meratapi kematian anaknya yang terbunuh dalam serangan udara Zionis di khemah pelarian Nuseirat, Gaza semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sudah hampir dua bulan sempadan ditutup. Tiada sebarang bantuan yang masuk, termasuk makanan, ubat-ubatan, minyak, hatta sebotol air mineral pun tidak sampai ke tangan mereka.”

Demikian luahan Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga di Gaza kepada Utusan Malaysia mengenai situasi semasa yang semakin meruncing di wilayah bergolak itu.

Menurutnya, keluarga beliau masih dalam keadaan selamat, namun mengalami kekurangan makanan yang serius, sementara masyarakat sekeliling pula ramai yang kini terpaksa tinggal di bawah runtuhan bangunan kerana tiada lagi tempat perlindungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar kebuluran meningkat, mereka kutip sisa sampah untuk dimakan, malah terpaksa bunuh keldai, kura-kura, anjing, kucing atau apa sahaja yang boleh dijadikan makanan.

“Saya masih dapat hubungi keluarga setiap hari, kecuali ayah mentua yang sudah seminggu tiada khabar, mungkin kehabisan bateri,” katanya.

Nurul Ain berkata, bantuan pihaknya hanya mampu menyediakan makanan menggunakan stok kedai sedia ada, tanpa sebarang bekalan baharu.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk tidak berhenti mendoakan ke­selamatan rakyat Palestin, terus berkongsi rezeki, menyebarkan kesedaran dan meneruskan kem­pen boikot.

“Teruskanlah berjihad kecil. Jangan terkejut jika suatu hari nanti mereka semua hilang dari dunia ini kerana kita hanya melihat tanpa berbuat apa-apa,” katanya lagi.

Situasi itu memberi gambaran lebih besar tentang keada­an kemanusiaan di Gaza kini, yang menurut laporan pelbagai agensi bantuan antarabangsa, telah mencapai tahap paling kritikal dalam sejarah.

Israel kini menggunakan kelaparan sebagai senjata perang, apabila semua laluan bekalan makanan dan bantuan disekat sepenuhnya sejak 2 Mac lalu, menyebabkan lebih dua juta penduduk Gaza kebuluran dan ketiadaan keperluan asas.

Menurut laporan Islamic Relief, ribuan kanak-kanak berdepan hari tanpa makanan, manakala lori bantuan yang sarat dengan bekalan hanya terhenti beberapa kilometer dari sempadan dan tidak dibenarkan masuk.

“Barangan keperluan seperti daging, telur dan produk tenusu kini hampir mustahil diperoleh. Harga sayur-sayuran melonjak hingga 15 kali ganda. Lebih 18 bulan serangan telah memusnahkan tanah pertanian, rumah hijau dan bot nelayan.

“Situasi menjadi lebih buruk apabila 95 peratus daripada 43 agensi bantuan utama di Gaza terpaksa menghentikan atau mengurangkan operasi disebabkan pengeboman berterusan dan kehilangan nyawa melebihi 51,000 orang,” katanya dalam kenyataan.

Petugas Islamic Relief menceritakan kisah menyayat hati saban hari dari keluarga yang rentung dalam khemah hingga kanak-kanak parah akibat letupan. Walau berdepan pelbagai sekatan, mereka tetap berusaha menyalurkan bantuan kepada ribuan penduduk yang kelaparan.

“Dalam seminggu lalu, kami hanya mampu agihkan biskut berkalori tinggi, bar kurma dan minyak sayuran kepada sekitar 7,000 orang setiap hari. Tetapi bantuan ini tidak mencukupi dan langsung tidak mampu menggantikan makanan berkhasiat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini