NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 maut dalam kebakaran di sebuah hotel di bandar Kolkata, India, menurut polis hari ini.
Beberapa mangsa dilaporkan memanjat keluar melalui tingkap dan ke atas bumbung untuk menyelamatkan diri, lapor AFP.
“Beberapa mangsa berjaya diselamatkan dari bilik dan bumbung hotel,” kata Ketua Polis Kolkata, Manoj Verma kepada pemberita.
Beliau memaklumkan, kebakaran itu tercetus pada malam Selasa dan kini berjaya dikawal sepenuhnya.
Verma turut mengesahkan sekurang-kurangnya 15 kematian.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan, beberapa mangsa dilihat cuba melarikan diri melalui tingkap dan laluan sempit tepi bangunan.
Menurut akhbar The Telegraph yang berpangkalan di Kolkata, sekurang-kurangnya seorang mangsa maut selepas terjun dari teres dalam usaha menyelamatkan diri daripada kebakaran.
Kebakaran bangunan sering berlaku di India akibat kekurangan kelengkapan pemadan kebakaran, selain mengabaikan peraturan keselamatan rutin.










