Malaysia perlu perluas pasaran, elak bergantung pada AS

Malaysia perlu perluas pasaran, elak bergantung pada AS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu meningkatkan usaha memperluaskan pasaran termasuk Kesatuan Eropah (EU), Afrika dan Amerika Selatan bagi mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada Amerika Syarikat (AS) dan China, berikutan tarif timbal balik yang diperkenal oleh Presiden AS, Donald Trump.

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, tarif tinggi tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi AS dan dunia.

“Malaysia perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, kini Malaysia dilihat sudah mempunyai usaha dengan banyak projek pembinaan pusat data, namun kemungkinan AS mengenakan tarif tinggi.

“Selain itu, kita perlu meningkatkan rantaian nilai untuk produk Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mustafa berkata, tarif Malaysia ke atas barangan AS tidak begitu tinggi iaitu kurang daripada 20 peratus dan pendapatan negara akan terjejas jika tarif tersebut dikurangkan.

“Malaysia adalah negara yang banyak mengeksort barangan separuh siap ke negara lain seperti semikonduktor untuk pembuatan telefon dan lain-lain. 

“Lebih 70 peratus keluaran Malaysia diperlukan oleh negara lain termasuk AS. Oleh itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, “ katanya. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, amaran Bank Dunia memang sudah dijangka kerana perbezaan antara krisis ekonomi dunia sebelum ini dan sekarang adalah akibat polisi tarif Trump.

Menurut beliau, sememangnya semua negara sedang bergelut untuk meningkatkan ekonomi masing-masing setelah kesan negatif Covid-19 dahulu.

“Malaysia perlu fokus kepada industri yang negara memiliki kelebihan dagangan seperti eksport minyak sawit, petroleum dan komoditi pertanian.

“Sudah sampai masanya untuk negara memperkasa komoditi pertanian seperti 40 tahun dahulu iaitu sebagai ngeksport getah dan sawit antara terbesar di dunia,” katanya. 

Baru-baru ini, Bank Dunia memberi amaran peningkatan ketidaktentuan perdagangan global memburukkan lagi masalah hutang serta pertumbuhan perlahan dalam kalangan pasaran baharu dan negara membangun.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill berkata, negara terbabit masih mampu meraih manfaat besar jika mereka segera mengurangkan tarif import masing-masing.

Tambahnya, krisis semasa yang berpunca daripada dasar kerajaan termasuk tarif tinggi AS di bawah Trump berbeza dengan krisis global sebelum ini dan masih boleh dipulihkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN