SEOUL: Seorang pelajar menyerang tiga individu dengan pisau di sebuah sekolah menengah di Korea Selatan hari ini, menyebabkan dua lagi cedera.
Serangan berlaku sekitar 8.36 pagi di sebuah sekolah di Cheongju, 110 kilometer di selatan Seoul, menurut laporan polis.
Agensi Polis Wilayah Chungbuk dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tikaman melibatkan pelajar di dalam bilik darjah.
Tiga mangsa mengalami kecederaan serius, termasuk pengetua sekolah ditikam di perut dan seorang lagi kakitangan parah di dada.
Polis berkata, dua lagi individu mengalami kecederaan ringan.
Pelajar tersebut cuba melarikan diri ke sebuah taman tepi tasik berdekatan, namun berjaya ditahan hanya 12 minit selepas laporan pertama diterima.
Suspek yang berusia 18 tahun itu dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan ringan.
“Kami sedang menyiasat kejadian dan mengenal pasti motif serangan,” kata seorang pegawai polis kepada AFP.
Kes berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang guru menikam mati seorang murid berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Korea Selatan.
Secara umumnya, negara itu dianggap sangat selamat, dengan kadar pembunuhan sebanyak 1.3 per 100,000 penduduk pada 2021, menurut statistik rasmi.










