PETALING JAYA: Skuad olahraga para negara mempamerkan prestasi cemerlang apabila membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa dalam Kejohanan Dunia Grand Prix Para 2025 di Marrakech, Maghribi kelmarin.
Kesemua emas tersebut diraih menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20, Wong Kar Gee (lompat jauh T12), Badrul Hisam Musa (lontar peluru F13) dan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi (100 meter (m) T12).
Pingat perak pula disumbangkan oleh Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (100m T12), Mohd Shahmil Md Saad (lontar peluru F56), Muhammad Amirul Alif Abdul Raof (lempar cakera F55), Muhammad Faiz Haizat Rosdi (1500m T38) dan Ahmad Fizzi Rosni (400m T36).
Gangsa hadir daripada Zulkifly Abdullah (lompat jauh T20), Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh T12) dan Aliff Shafiq Muhamad (lempar cakera F57).
Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad yang memulakan musim 2025 dengan langkah kanan berkata, dia tidak menetapkan sebarang sasaran sebelum menyertai kejohanan tersebut dan cuma berharap dapat melakukan yang terbaik.
“Ini kejohanan pertama saya pada tahun ini. Persiapan sentiasa diadakan dan saya tidak pernah berhenti sejak pulang dari Sukan Paralimpik 2024 pada September lalu.
“Tujuan saya tidak meletakkan sebarang saya tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri. Saya cuma berharap dapat membuat lontaran sejauh 16 m,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ziyad memenangi emas selepas melakukan lontaran 14.54 m manakala perak dimenangi Ravil Mansurbayev dari Kazakhstan dan gangsa menjadi milik Badr Touzi dari Perancis. – UTUSAN










