YAYASAN Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Clarus Consulting, melancarkan program perintis GIGS–GIMI Impak untuk Inovasi Akar Umbi dan Sosial.
Program ini berasaskan metodologi Institut Pengurusan Inovasi Global (GIMI) dan merupakan langkah penting dalam usaha untuk melahirkan generasi inovator baharu di Malaysia.
Fasilitator YIM telah membimbing sekumpulan pelajar cemerlang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi melalui satu proses pembelajaran yang transformatif, dengan fokus kepada penyelesaian isu-isu sosial seperti pencemaran air, buruh kanak-kanak, dan kekurangan bekalan air bersih. Para pelajar telah dilatih untuk menghasilkan idea penyelesaian yang berimpak tinggi serta membentangkan inovasi mereka dengan penuh keyakinan, sekaligus melayakkan mereka untuk menerima Pensijilan Antarabangsa GIMI Impact.
Program ini menyediakan platform yang bernilai bagi pelajar untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).
Sembilan pasukan pelajar yang terlibat kini telah dilantik secara rasmi sebagai kohort pertama iCATS 2.0 dan akan menjadi sebahagian daripada ekosistem inovasi YIM selama lima tahun di bawah Dasar Inovasi Sosial (DIS) dan pelan hala tuju nasional. Idea-idea mereka akan diperhalusi menjadi inovasi berimpak tinggi yang mampu memberi kesan berkekalan kepada masyarakat. Penyertaan mereka akan memfokuskan kepada pemerkasaan bakat, pemantapan pendidikan, dan pengukuhan keusahawanan inovasi sosial.
YIM mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama menyertai program ini. Sertailah usaha membangunkan masa depan Malaysia yang berteraskan inovasi-memperkasa belia dan memberi impak perubahan yang positif kepada dunia. – UTUSAN
YAYASAN INOVASI MALAYSIA










