JDT julang Piala Malaysia

JDT julang Piala Malaysia

AKSI perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT menentang Sri Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan JDT menepati ramalan apabila mendominasi hampir 60 peratus permainan.

Tempo perlawanan mula panas apabila penyerang Sri Pahang, Muhammad Baqiudin Shamsudin, dilayangkan kad kuning seawal minit kesembilan oleh pengadil, Razlan Joffri Ali, selepas mengasari pemain JDT, Oscar Arribas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sri Pahang menceriakan penyokong mereka apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi T. Saravanan yang pantas mencuri peluang dalam situasi kelam-kabut di kotak penalti JDT.

Bagaimanapun, JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi tandukan Bergson da Silva, namun gol tersebut dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Sri Pahang kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya, Sergio Aguero, dilayangkan kad merah pada minit ke-33 selepas mengutip dua kad kuning akibat tindakan kasar terhadap Bergson.

Memasuki separuh masa kedua, JDT melakukan dua pertukaran apabila Romel Morales dan Iker Undabarrena dibawa masuk menggantikan Natxo Insa dan Juan Muniz

JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Bergson pada minit ke-54 selepas VAR mengesahkan kekasaran terhadap Oscar Arribas dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, kelebihan pemain JDT tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan mereka, Park Jun-heong, dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua akibat mengasari pemain Sri Pahang.

Arif Aiman sekali lagi membuktikan kredibilitinya sebagai pemain paling bernilai musim ini apabila meledak gol kedua JDT menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-73 untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Selatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini