Surat cinta dari Sepachendera

Surat cinta dari Sepachendera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURAT itu tiada tanda nama, tiada tarikh. Namun setiap hurufnya seperti bernyawa, berdegup seperti jantung yang sedang rindu. Siapa penulisnya? Serindu itukah kamu?

Mata Laila meliar dengan kepala yang sedikit pusing. Entah kenapa jantungnya mula berdebar-debar apabila menjejakkan kaki ke istana lama itu. Terasa bagai ada yang mengintai dari celah-celah batuan yang semakin meruntuh.

Terasa sayu entah kenapa bagaikan ada seseorang yang ingin dia membaca surat itu dan membawa pulang cinta yang tertinggal.

Laila menemukan surat itu di celah-celah dinding batu yang meretak. Sekeping kertas renyuk yang terselit rapi. Tulisannya semakin memudar namun bait-bait di dalamnya sarat rasa antara rindu dan kecewa.
“Untukmu duhai kekasih,

Jikalau jari jemarimu menyentuh surat ini, ketahuilah kekanda menunggu di sini, di istana yang pernah menjadi saksi bisik rindu kita. Sepachendera masih berdiri, meski sepi menelan tangisku saban purnama.

Cinta kekanda tidak binasa hanya bersemadi bersama waktu dan berselimut bersama sunyi dan sepi menanti masa kita menyatu kembali.”

Surat itu tiba-tiba basah dengan titis airmata Laila yang tiba-tiba gugur. Laila tiba-tiba sayu. Dadanya menjadi sendat.

Nurlaila Abdullah namanya. Ibunya mengelarnya Laila, seindah wajahnya. Namun pada usia menghampiri empat dekad itu Laila masih sendiri, masih belum menemukan Majnunnya. Masih belum beruntung dalam percintaan.

Belum pernah puisi ditulis untuknya apatah lagi sebuah mahligai dibina di atas namanya. Cintanya, berkali-kali gugur sebelum sempat mekar.

Kini, Laila berdiri di tengah-tengah ruang kosong istana lama yang semakin usang. Itu semakin menjeruk hatinya.

Istana Sepachendera dibina atas rasa cinta seorang lelaki untuk suri hatinya. Laila juga tidak pernah memiliki cinta setulus itu. Seagung itu.
“Indahnya istana ini,” bisik Laila.

“Namun lebih indah seorang perempuan yang dicintai dengan hebat oleh lelakinya itu,” cetus hati Laila.

Laila cantik, kulitnya kuning langsat, giginya tersusun, matanya bulat, pipinya bagai pauh di layang, alisnya lentik dan bibirnya mungil… seksi. Fitur yang dianggap penuh kesempurnaan bagi fisik seorang wanita.

Laila juga masyhur sejak zamannya di sekolah hingga ke kampus. Pada ketika kerjayanya memuncak, ramai lelaki menagih cintanya.

Laila juga bukan perempuan liar, lima waktu tidak pernah dilupakan. Taatnya kepada orang tua tidak boleh disangkal.

Perempuan itu cuma mati rasa dek kerana berulang-ulang kali menyulam cinta namun berbalas dengan harapan yang selalu tidak kesampaian. Hatinya sedih melihat surat cinta itu sedangkan cintanya kaku.

Dia semakin cemburu kepada cinta yang kuat sehingga mampu membina batu menjadi mahligai cinta. Dia cemburu pada janji yang tidak pernah dimungkiri. Dia cemburu.

“Mengapa bukan aku?” detik Laila terkesima dengan sejarah istana lama itu.
Fikiran Laila merayap ke temu janji terakhirnya sepurnama lalu dengan seorang jejaka yang diangan-angankan menjadi separuh hatinya yang hilang.

Muiz, seorang jurutera syarikat gas dan minyak di ibu kota. Sempurna fisiknya. Media sosial mempertemukan mereka.

Jejaka itu segak dengan potongan rambut kemas dan wajah sedikit tenang, gabungan maskulin dan karisma sukar diabaikan oleh pandangan mata Laila tatkala Muiz memperkenalkan dirinya saat temu janji di kafe mewah itu.

Pandangan matanya sudah cukup menggoda dan senyumannya seumpama mentari selepas hujan, menghangatkan.

Dalam sut Armani dan jam tangan berkilau di pergelangan tangannya, Muiz mula bersuara. Suara mendalam menawan sedap halwa telinga.

“Salam kenal. Muiz,” tuturnya semena menghulurkan tangan.

“Laila,” wanita itu menyambut sambil tersenyum manis.

Laila pun apa kurangnya, gaun merah jambu yang dibeli dari sebuah butik di KLCC tidak mahu dibazirkan lagi. Tudung sutera berharga ribuan menutup rambutnya yang ikal mayang itu menyerlahkan wajahnya walaupun solekannya sederhana. Tiada siapa yang akan menyangka usianya sudah selewat itu.

Muiz mengiringi Laila ke meja yang sudah ditempahnya sejak dinihari. Sambil tersenyum nakal dan pelbagai babak sudah mula bermain di fikirannya.

“Harap menggena lagi umpan aku kali ini,” detik jejaka itu tanpa mengetahui yang menantinya itu bukan sembarang wanita.

Meja di kafe mewah itu semakin malap dan muzik jazz yang dimainkan semakin menenangkan.

Malam makin larut, jam di tangan Laila sudah berdetik ke 11 malam. Muzik makin perlahan dan kehangatan suasana itu lebih daripada kopi manis yang terhidang di meja mereka.
Mata mereka saling berkait.

“There’s something about you that makes me wish this night wouldn’t end,” Muiz mula memasang perangkap.

Laila sedikit tersentak hatinya.

“Hmm, you selalu ajak perempuan pulang?” ungkap Laila lembut dengan hati yang sedikit berbulu.

“Tidak, cuma untuk rupawan yang I suka,” Muiz bersuara dan ketawa kecil.

“You like to play and win but sorry I am not that kind of girl,” bentak Laila.

Laila berjalan keluar dengan penuh keyakinan meninggalkan lelaki itu yang masih tercenggang di tempat duduknya.

Laila menghempas punggungnya di kerusi kereta. Sakit hati dan kecewa.

“Ah, si hidung belang,” dengus Laila.

Malam tiba-tiba menangis seolah-olah menyambut hati Laila yang kecewa dan hiba.

Air dari langit mencurah-curah tanpa belas. Lampu jalan samar-samar dan bayang di luar semakin menghilang.

Tangan Laila erat mengenggam stereng. Nafasnya tidak lagi tenang. Dia merasakan tidak patut keluar malam itu bertemu dengan lelaki mata keranjang tersebut.

Penyesalan itu menebal menyesakkan dada lebih daripada kelajuan keretanya.

Tiba-tiba satu cahaya terang dari arah bertentangan. Hon kereta menjerit dan tayar nyaring memekik. Jantung Laila terhenti. Dahinya tiba-tiba hangat. Cecair merah mengalir. Gelap.

Hujan reda. Langit menjadi jernih. Laila membuka mata. Sunyi dan tiada suara. Hanya angin yang membawa bau wangi bunga kemboja yang tidak dikenalinya. Tangannya masih mengenggam kertas berisi surat cinta itu.

Laila memberanikan diri masuk ke istana yang sudah berpuluh tahun ditinggalkan itu. Dinding sebahagian daripada istana itu sudah hampir runtuh. Lantai marmarnya semakin meretak. Lantai kayu semakin mereput.

Namun Laila merasakan ada sesuatu tentang istana lama ini yang dekat dengan dirinya.

Ada sesuatu tentang tempat ini yang terlalu akrab seperti menyimpan sebahagian daripadanya jiwanya yang hilang.

Mata Laila tiba-tiba terpaut pada sebuah almari lusuh di hadapannya.

Di dalamnya ada sekeping cermin antik. Dalam pantulan cermin antik itu, Laila melihat bukan hanya dirinya, tetapi wanita wajah yang sama, menangis di tempat sama dan menunggu cinta di tempat yang sama.

Tangannya menggeletar. Ingatannya kabur, tapi hatinya seakan pernah menyentuh cermin ini, pernah menangis di sudut itu.

Satu demi satu bayangan datang, secebis senyuman, sehelai kain putih melambai dari jendela, dan seorang lelaki.

Dia tidak pernah melihat wajah lelaki itu sepenuhnya, tapi suara hatinya tahu, lelaki itu pernah mencintainya. Namun cinta itu tidak berakhir dengan kebahagiaan.
Kerana hidupnya tersimpan satu kisah yang tidak pernah dilupainya. Kisah sepasang kekasih yang terpaksa berpisah kerana tidak sedarjat. Dia wanita yang dibenci dan dianggap petualang, bukan wanita yang dikenang. Dia adalah Laila.

Lelaki itu terpaksa berkahwin dengan wanita lain atas desakan keluarganya yang berdarah bangsawan tetapi hatinya sudah diberi pada seorang wanita biasa. Buat seketika Laila memahami dari mana datang mati rasanya.

Malam itu, Laila terduduk di taman istana itu, memeluk dirinya sendiri. Angin membawa bisikan yang pernah diucap lelaki itu:

“Maafkan aku kerana tak mampu memilihmu di dunia ini… Tapi di syurga aku ingin bersamamu.”
Laila menutup mata.

Dan untuk pertama kali dalam hidupnya, dia menangis bukan kerana ditinggalkan tetapi kerana akhirnya dia tahu bahawa dia juga pernah dicintai dengan tulus.

Malam terakhir di Istana Sepachendera dengan latar langit berat dengan awan, bulan seakan enggan bersinar.

Laila berjalan ke taman rahsia, di mana segala kisah bermula dan berakhir.

Angin malam menyapa kulitnya seperti sentuhan seseorang yang lama dirindui. Cermin antik di bilik itu kini pecah, dan dari serpihannya… muncul sosok lelaki.

Wajah yang dulu kabur kini jelas. Matanya sarat rindu seratus tahun, senyumannya getir seperti seseorang yang memikul cinta tanpa ruang.

“Laila… aku tak pernah melupakanmu.”

Suara itu memecah dada Laila, bukan kerana sedih, tetapi kerana akhirnya ia tiba.

“Mengapa baru sekarang?” bisik Laila, matanya bergenang.

“Kerana dunia ini tak adil pada kita. Tapi cinta… cinta tak pernah tunduk pada masa.”

Dia menghulurkan tangan. Dan Laila, untuk pertama kali, menyambutnya.

Di sekeliling mereka, taman yang lusuh berubah, bunga-bunga kembali mekar, pohon-pohon berdansa perlahan seperti menyambut dua hati yang akhirnya bertemu.

Langit terbuka, bintang-bintang menari. Dan dari istana yang sepi selama ini, terdengar irama halus, puisi yang pernah ditulis untuk Laila, dibacakan oleh angin.

“Jika aku tak mampu memilikimu dalam hidup ini, biarlah aku memelukmu ke dunia abadi.”

Laila menoleh ke arah istana, kemudian ke lelaki itu.

“Kita ke mana selepas ini?”

“Ke tempat di mana tiada yang boleh memisahkan kita lagi.”

Dan dengan langkah perlahan, tangan masih bertaut, mereka berjalan meninggalkan istana.

Di belakang mereka, Istana Sepachendera berdiri dalam senyap bukan lagi sebagai lambang cinta yang tidak kesampaian, tetapi sebagai makam cinta yang akhirnya bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×