Malaysia pilih haluan realistik Sukan SEA 2027

Malaysia pilih haluan realistik Sukan SEA 2027

HANNAH Yeoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memilih pendekatan realistik dan inklusif dalam penganjuran Sukan SEA 2027 dengan memberi fokus kepada pembangunan sukan secara menyeluruh berbanding mengejar gelaran juara keseluruhan semata-mata.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan tidak mahu mengulangi pendekatan lama seperti pada edisi 2017, sebaliknya menumpukan kepada perancangan strategik, kerjasama pelbagai pihak dan rasional dalam pemilihan acara yang bakal dipertandingkan.

“Saya dengar pandangan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) yang menegaskan supaya kita jangan ada mentaliti jaguh kampung dan saya bersetuju. Kita perlu berpijak kepada realiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KBS di Axiata Arena, semalam.

Menurutnya, temasya dwitahunan itu akan dianjurkan bersama empat wilayah utama iaitu Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi meneliti aspek teknikal, bajet serta pelantikan jawatan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) penganjuran yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Fokus utama sekarang adalah melantik CEO kerana masa semakin suntuk dan kerja perlu dimulakan segera. Semua keputusan termasuk senarai acara sukan akan ditentukan berdasarkan bajet serta perbincangan bersama persatuan sukan dan MOM,” jelasnya.

Kata Hannah, kerajaan turut menyemak semula bajet penganjuran mengikut kadar semasa sejajar dengan peningkatan kos, berbeza dengan edisi lalu yang diadakan sepenuhnya di Kuala Lumpur.

“Kita tidak boleh bandingkan dengan penganjuran 2017 kerana konsep kali ini berbeza. Pendekatan kita adalah lebih realistik dan selaras dengan kemampuan semasa negara,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada tahun 2017 yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan pungutan pingat pingat emas 145, 92 perak dan 85 gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×