KUALA LUMPUR: Seorang ibu kepada seorang anak dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majisret di sini semalam atas pertuduhan mencuri kerana tekanan kewangan untuk menanggung keluarga.
Tertuduh, Lini Ahmat, 38, mengaku bersalah mencuri 30 jenis barangan termasuk makanan ringan, produk penjagaan diri dan keperluan harian antaranya roti, telur, biskut, susu soya, tisu dan ubat gigi berjumlah RM374.69 di sebuah pasar raya di Brickfields di sini pada 19 April lalu.
Menurut peguam bela tertuduh, Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib, pihaknya memohon agar hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya terpaksa melakukan kesalahan itu akibat tekanan kewangan dan menanggung anak berusia enam bulan serta bapa uzur berumur 76 tahun.
“Anak guam saya tidak bekerja, manakala suaminya baru sahaja memperoleh pekerjaan selepas mereka sekeluarga berpindah dari Sarawak.
“Tertuduh berada dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai wang untuk membeli barangan keperluan asas,” rayu peguam itu.
Majistret Aina Azahra Arifin kemudian memutuskan hukuman penjara tiga bulan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.-UTUSAN










