BEIJING: 21 robot humanoid menyertai ribuan pelari dalam acara separuh maraton Yizhuan di Beijing pada Sabtu, menjadikannya mesin canggih pertama beraksi bersama manusia dalam larian sejauh 21 kilometer (km).
Robot, yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China seperti DroidVP dan Noetix Robotics, tampil dalam pelbagai bentuk dan saiz, ada yang setinggi 1.8 meter dan lebih rendah daripada 120 sentimeter.
Sebuah syarikat mendakwa robot ciptaannya kelihatan hampir menyerupai manusia dengan ciri-ciri feminin serta mampu mengenyit mata dan tersenyum.
Menurut penganjur, beberapa firma menjalankan ujian ke atas robot masing-masing selama beberapa minggu sebelum perlumbaan.
Sepanjang perlumbaan, setiap robot ditemani jurulatih manusia, malah ada yang terpaksa memberi sokongan fizikal kepada mesin berkenaan agar tidak tumbang.
Sebahagian robot berjaya menamatkan perlumbaan, manakala yang lain menghadapi kesukaran sejak permulaan.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, robot humanoid pernah membuat kemunculan dalam acara maraton di China, namun tidak pernah menyertai perlumbaan sebenar.
China giat melabur dalam industri teknologi tinggi seperti robotik sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, namun sesetengah penganalisis meragui penyertaan robot dalam maraton boleh dijadikan penanda aras terhadap potensi sebenar industri tersebut.
Profesor Sains Komputer dan Robotik dari Universiti Negeri Oregon, Dr. Alan Fern berkata, dakwaan sesetengah pegawai Beijing mengenai perlumbaan itu memerlukan ‘penemuan besar dalam AI’ adalah kurang tepat.
Tambah beliau, syarikat di China kini lebih menumpukan kepada pertunjukan keupayaan robot dalam berjalan, berlari dan menari yang menarik dari sudut persembahan, namun tidak begitu relevan dari segi kebolehan menyelesaikan tugas atau memperlihatkan sebarang bentuk kecerdasan asas.– AGENSI










