KOTA BHARU: Hasrat seorang remaja menyambut hari kelahiran sepupunya tidak kesampaian apabila dia mati lemas semasa mandi bersama rakan-rakan di tali air Ladang Merdeka, Tunjong di sini, kelmarin.
Mangsa, Muhamad Farish Daniel Shahrul Irwan Al Hafiz, 13, sepatutnya meraikan hari lahir Hakimi Mohd. Azam, 19, petang kelmarin meskipun tarikh kelahiran sepupunya itu pada 14 April lalu.
Menurut Hakimi, mereka sudah berjanji untuk makan mi kari dimasak oleh nenek mereka, Roezan Seman semasa sambutan berkenaan.
Katanya, dia menyedari sepupunya lemas selepas dimaklumkan oleh rakan yang datang ke rumah kira-kira pukul 4.30 petang.
“Saya keluar dengan menunggang motosikal ke tali air itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah. Saya nampak penduduk mengusung jasad Muhamad Farish ke tebing tali air sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian.
“Kami sepatutnya pergi ke rumah nenek untuk meraikan hari jadi saya dengan makan hidangan mi kari,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kedai Mulong di sini, semalam.
Hakimi berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah semasa pulang dari sekolah kelmarin dan sepupunya itu masuk ke bilik sebelum bergurau dengan mengurut bahunya.
Katanya, arwah memaklumkan bahawa dia selesai menjalani peperiksaan hari kedua di sekolah sebelum keluar dengan membonceng motosikal bersama rakan yang datang mengambilnya di rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa disedari lemas di tali air tersebut selepas terjerlus di kawasan lubang yang dikorek untuk menyedut air. – UTUSAN











