“Apa agaknya pandangan anda jika ada seorang lelaki jelik memohon maaf setelah kencing secara terbuka di ruang tamu rumah anda, walaupun pintu tandas berhampiran terbuka luas? Anda pasti marah serta tersinggung dengan permohonan maaf itu.”
Itu mungkin analogi sesuai untuk menggambarkan permohonan maaf sebuah akhbar berbahasa Cina yang biadab memaparkan gambar bendera Malaysia tanpa bulan sabit.
Usia akhbar tersebut bukan muda kerana ia sudah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1929.
Jadi, alasan ‘tersilap cetak’ sangat tidak logik seumpama lelaki jelik yang ‘tersilap kencing’ di ruang tamu anda.
Walaupun hanya sebuah bulan sabit, ia mempunyai signifikan yang sangat besar kepada sejarah bina Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Bulan sabit yang membawa kiasan Islam sebagai agama ada petunjuknya dari al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak bulan (bulan sabit). Katakanlah: “(peredaran) anak bulan itu menandakan waktu (ibadat dan urusan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji…. (al-Baqarah:189)
Ayat ini menjelaskan Islam mengandungi pelbagai ibadat yang ditentukan oleh peredaran serta pergerakan anak bulan. Ibadat haji, mula puasa dan raya ditentukan oleh anak bulan dan sebagainya. Tindakan ‘tersilap’ membuang lambang bulan sabit daripada jalur gemilang seumpama kiasan berhelah kami mahu membuang Islam dari perlembagaan Malaysia.
Itu satu isu! Isu berikutnya mempersendakan bendera Malaysia yang melambangkan kedaulatan negara. Apa kata Islam mengenai bendera?
Cintakan bendera yang menjadi cerminan cinta negara tidak bercanggah dengan Islam. Rasulullah SAW yang mempunyai surat beranak Mekah, berduka hati ketika terpaksa meninggalkan Mekah.
Madah gundah baginda disebut menerusi sebuah hadis yang bermaksud: Demi Allah sesungguhnya engkau (bumi Mekah) adalah bumi Allah yang terbaik dan bumi Allah yang paling dicintai Allah. Jika bukan kerana aku diusir darimu, maka aku tidak akan sama sekali keluar darimu” (Sunan al-Tirmidzi, 3925 & Musnad Ahmad, 18718).
Sedih baginda kemudiannya dipujuk Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad sehingga terusir keluar dari Mekah) sudah tentu akan menyampaikan (mengembalikan) engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (Mekah dengan kejayaan). Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): “Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata” (al-Qasas:85)
Bukan sahaja di dunia, di akhirat juga Allah akan tempatkan manusia mengikut bendera atau panjinya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku adalah penghulu anak Adam pada hari kiamat kelak. Ini bukanlah kesombongan (sebaliknya suatu penghormatan dari Allah). Pada tanganku kelak akan ada ‘panji’ (bendera) pujian. (Sunan al-Tirmidzi, 3615).
Pengkhianat dan pendosa juga punya benderanya tersendiri sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya para pengkhianat akan disandarkan padanya panji (bendera khusus) pada hari kiamat.
Lalu dikata (ditanda pada bendera itu): Ini adalah bukti pengkhianatan si fulan bin si fulan (Sahih al-Bukhari, 6178).
Dalam perang Mu’tah melawan tentera Rom, Ja’afar bin Abi Talib r.a kehilangan dua tangannya kerana mempertahankan panji tentera Islam. Lalu Allah ganti kedua tangannya itu dengan dua sayap.
Ia diceritakan Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Ja’afar (sekarang) bersama malaikat Jibril dan Mikail. Dia punyai dua sayap sebagai ganti dua tangannya (yang hilang dalam perang Mu’tah). Dia baru sahaja memberi salam kepadaku (dari alam barzakh).” Oleh kerana itu beliau dinamakan sebagai al-Tayyar (insan yang terbang) dalam syurga kelak (Mustadrak al-Hakim, 4937).
Jika bendera hanya sehelai kain kosong tanpa makna, masakan Ja’afar bin Abi Talib r.a sanggup kehilangan dua tangannya mempertahankan bendera tentera Islam dalam perang Mu’tah?
Jika ia sekadar kain kosong, masakan Allah gantikan kedua tangannya dengan dua sayap sehingga beliau bebas berterbangan dalam syurga bersama para malaikat?
Rasulullah SAW juga menggerakkan tentera Islam dengan panji tertentu. Ada panji yang dipegang orang Muhajirin dan panji yang dipegang orang Ansar. Pemegang panji juga dipilih secara khusus sehingga ia menjadi idaman semua sahabat.
Dalam perang Khaibar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dalam perang Khaibar Nabi SAW bersabda- “(Besok) Aku akan berikan panji (bendera) perjuangan kepada seorang lelaki yang mana Allah akan beri (kita) kemenangan di bawah pimpinannya (panji itu kemudiannya diserahkan kepada Ali bin Abi Talib)” (Sahih al-Bukhari, 2942).
Semua hadis ini menunjukkan panji atau bendera membawa simbol besar untuk sesebuah pasukan tentera atau negara. Dalam sebuah perang, panji menjadi tanda kesatuan tentera. Fokus dan moral tentera kekal segar dan utuh jika mereka lihat bendera pasukannya kekal teguh. Ini antara sebabnya mengapa Ja’afar sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan panji Islam.
Bagi konteks zaman moden, semua negara berdaulat punyai bendera yang membawa lambang yang mencerminkan ‘wajah’ negara tersebut. Nikmat bendera hanya akan dihargai setelah ia hilang.
Penulis pernah bertemu seorang pemuda yang ditarik kerakyatannya oleh kerajaan Russia kerana masalah politik yang kompleks. Kesannya, dia menjadi pelarian politik di bawah panji Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Hidupnya menjadi sukar kerana tiada siapa yang mahu mengambilnya berkerja dek status ‘tiada bendera’ yang ‘melekat’ pada dirinya. Saya percaya, jika beliau diberikan kerakyatan baharu oleh mana-mana negara di dunia, dia pasti akan sujud syukur ‘beralaskan’ bendera negaranya yang baharu.
Oleh itu, sungguh malang jika ada rakyat Malaysia yang tidak pandai bergurau mengubah isi bendera. Jika anda marah dengan orang politik sekalipun, jangan dimangsakan Jalur Gemilang yang menjadi pakaian terhormat ibu pertiwi.
Tujukan kemarahan anda kepada orang politik melalui kertas undi dalam pilihan raya dan bukannya dengan mengubah, mengoyak atau memijak pakaian terhormat Malaysia. Orang politik boleh bertukar ganti, namun Jalur Gemilang tetap utuh di puncak tanpa mengira ‘siapa’ yang mengisi kuasa politik.-UTUSAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.











