PETALING JAYA: Malaysia dan China komited untuk menentang sebarang tindakan unilateral dan perlindungan yang boleh menjejaskan kestabilan rantau dan global.
Ketika berucap pada majlis makan malam, kedua-dua pemimpin, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim senada dalam menghadapi tekanan unilateral dan dasar perlindungan di bawah order baharu melalui kesatuan dalam hubungan rakan serantau.
Untuk itu, Xi menegaskan komitmen negaranya untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan Malaysia dalam usaha menentang cabaran geopolitik global, termasuk ancaman unilateralisme dan dasar perlindungan ekonomi (proteksionisme) yang kian meningkat.
“Pada tahun 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya telah mengumumkan komitmen membina komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan. Kini, lembaran baharu hubungan dua hala telah pun bermula,” ujar beliau.
Xi menekankan bahawa dalam menghadapi kejutan globalisasi ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik, China dan Malaysia akan terus berdiri bersama, bukan sahaja demi kestabilan rantau Asia, malah untuk kepentingan global.
“China dan Malaysia akan berdiri seiring bersama negara-negara serantau dalam menentang geopolitik berasaskan pemusatan kuasa, serta dasar unilateralisme dan proteksionisme yang semakin menekan ekonomi global,” kata ketika berucap pada jamuan makan malam itu di sini malam tadi.
Xi berkata, China dan Malaysia bukan sahaja berkongsi sejarah yang panjang, tetapi kini bersedia melangkah ke fasa baharu dalam membentuk komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersamanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara China dan Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, malah kepada rakyat secara langsung, dengan menyumbang kepada pembangunan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
“Kami yakin, prospek keluarga Asia masih terang dan menjanjikan. China menanti-nantikan kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia bagi membina hubungan strategik yang lebih tinggi dan menerima era ‘50 Tahun Emas’ dalam hubungan dua hala,” jelasnya.
Xi dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, selepas Vietnam dan ke Myanmar Khamis ini bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau ini susulan perang tarif Presiden AS, Donald Trump semakin memuncak.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, Malaysia menghargai sikap rasional dan konsistensi Cina dalam menjalin hubungan dengan terutama dalam menghadapi situasi yang sukar oleh tekanan unilateral pihak tertentu sekarang.
Katanya, di tengah-tengah pergolakan ini, China telah bersikap rasional, tegas dan menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai.
“Malaysia menghargai konsistensi ini. Malaysia akan kekal sebagai rakan yang tidak goyah dan berprinsip kepada China – berpandukan kebijaksanaan sejarah dan janji masa depan.
“Dasar luar negara kita dibentuk oleh visi yang jelas kepentingan dan kepusatan ASEAN,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, ketika sesetengah negara bertindak secara sendirian meninggalkan prinsip perkongsian, tanggungjawab dan komitmen, inisiatif global China menawarkan peluang dan harapan baharu.
“Mereka (China) melihat ke luar, bukan ke dalam. Mereka tidak bercakap tentang persaingan,
tetapi pembaharuan.
“Ketika sesetengah pihak bertindak tanpa berasaskan peraturan, tidak mempedulikan dialog, tarif dikenakan tanpa sekatan, dan bahasa kerjasama ditenggelamkan di bawah bunyi ancaman dan paksaan.
“Apa yang kita saksikan hari ini bukanlah perhitungan yang jujur ketidaksempurnaan globalisasi, tetapi berundur ke dalam ekonomi kesukuan.
“Apa yang pernah dikatakan perjanjian pelbagai hala untuk pertumbuhan yang dikongsi kini menjadi lemah akibat gangguan sewenang-wenangnya atas kehendak unilateral,” katanya.
Sehubungan itu Anwar berkata, Malaysia menghargai peranan yang dimainkan oleh China kerana perdagangan bukan pertandingan menang dan kalah, tetapi adalah usaha bersama.
Matlamatnya kata Perdana Menteri, bukan penguasaan, tetapi kemajuan semua.
Tetapi kata beliau, apabila yang kuat mula memecahkan peraturan, bukan sahaja kemakmuran yang goyah tetapi keamanan global juga boleh tergugat.
“Dalam masa yang sukar ini, dunia mendambakan kemantapan, kebolehpercayaan dan matlamat.
“Kita lihat ini dalam tingkah laku China. Malaysia mengiktiraf keteguhan itu dengan pengiktirafan yang diberikan dan sedar bukan sahaja tentang ketenangan yang dibawanya, tetapi juga tentang harapan yang terus ditawarkan
Anwar juga menyifatkan inisiatif global yang diketengahkan oleh China sebagai sinar harapan baharu kepada dunia yang kini berdepan tekanan terhadap sistem multilateral dan kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata, pendekatan China yang bersifat inklusif dan berorientasikan dialog menawarkan satu alternatif yang rasional dan segar dalam landskap dunia yang semakin dibelenggu konflik dan persaingan tidak sihat.
Malaysia, katanya, akan terus menjadi sahabat yang berprinsip kepada China, berlandaskan hikmah sejarah dan keyakinan terhadap masa depan bersama yang lebih adil, stabil dan makmur.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah Malaysia dan China akan terus memperkasakan kerjasama kedua-dua negara walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik global.
Baginda bertitah, Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama.
“Beta percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN










