MENATAP laporan terutamanya di media sosial, kita dapat melihat ada umat Islam saling bermusuhan hanya kerana perbezaan fahaman politik dan merebut kuasa sehingga tercetusnya pergaduhan dan fitnah yang tidak langsung mencerminkan ajaran yang dituntut dalam agama.
Sewajarnya ibadah puasa di bulan Ramadan lalu dan kini menempuh bulan Syawal dapat membentuk peribadi mulia serta kembali kepada al-Quran dan sunah yang dizahirkan menerusi perjuangan Nabi Muhamad SAW dan para sahabatnya sebelum ini.
Imam Rawatib Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, Ustaz Ahmad Fahmi Daud, 49, berkata, umat Islam dengan semangat mahabbah Aidilfitri sekarang dan sebelum ini sewajarnya merenung dan bermuhasbah sampai bila mahu hidup berpecah-belah sesama umat Islam khasnya dalam beberapa perkara seperti khilafiah, fitnah, hasutan dan perbezaan politik.
“Begitu juga dengan kaum lain, wajar memahami bahawa Islam adalah agama perpaduan dan tidak mengajarkan permusuhan dan sentiasa berada di landasan kebenaran, kasih sayang, bantu-membantu dan sebagainya seperti yang berlaku di persekitaran dalam negara kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
USTAZ AHMAD FAHMI DAUD
Umur : 49 tahun
Tarikh lahir : 7 Julai 1976
Tempat lahir : Hospital Jerantut
Pendidikan:
SK Jerantut ( 1983-1988 )
SMK Padang Saujana, Jerantut (1989)
Institut Pendidikan Al Balaghulmubin Pasir Mas, Kelantan ( 1989 – 1997 )
Pendidikan Tinggi:
Diploma Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai ( 2013 – 2017 )
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan : Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kampus Temerloh (graduate 2020 )
Pekerjaan Sekarang:
Guru di Maahad Darul Tahfiz Jerantut (2013 – 2023)
Guru di SK Felda Jengka 24 (2023 – 2024)
Guru di SK Pulau Mansok Jerantut (2025)
Khidmat Masyarakat/Agama:
Imam Rawatib Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) (2020 – kini).
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Saujana Putra (2020 – kini).
Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Sri Inderapura (2024 – kini)
Menurutnya, sikap bantu-membantu sesama insan adalah antara ikatan ukhuwah sekali gus dapat membina perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud: ‘Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.
“ Justeru, pada bulan Syawal ini, sebaik-baiknya umat Islam di negara ini membina dan memperkukuh ukhuwah dan silaturrahim. Islam adalah agama yang menitikberatkan persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia.
Tanpa ukhuwah, hidup kita akan dibelenggu sengketa dan permusuhan,” katanya.
Firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudaramu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”
Tambahnya, Islam sebagai agama tauhid dan persaudaraan, sentiasa menggalakkan umatnya untuk merapatkan saf perpaduan malahan wajar menghormati kaum lain termasuk agama dan budaya masing-masing dengan menggalakkan bertelingkah sehingga merugikan semua pihak.
“Sebelum kedatangan Islam, manusia hidup dalam kesesatan, tanpa arah dan pedoman. Tamadun besar dunia saling berperang antara satu dengan lain demi perluasan kuasa. Sementara masyarakat Arab pula hidup dalam keadaan jahiliah, sering bersengketa dan berperang dalam perkara remeh-temeh,” katanya.
Terang beliau, Nabi Muhammad SAW dengan misi yang besar, iaitu memperbetulkan akidah umat Islam kepada mengesakan Allah dan mempersaudarakan manusia yang sebelum itu saling berbalah.
“Berasaskan sirah Nabi Muhammad SAW tiadalah jalan lain bagi merintis kemenangan Islam, melainkan perlunya kita menyatupadukan umat Islam. Lihatlah usaha persaudaraan Nabi dalam kalangan al-Sabiqun al-Awwalun, seperti kesamarataan orang Arab dengan bukan Arab, hamba dengan bukan hamba,” jelasnya.
Allah SWT, kata beliau, menyeru umatnya agar memberikan kebaikan dan keadilan kepada rakyat bukan Islam. Kebaikan dan keadilan ini dijamin kepada mereka selama mereka tidak memerangi dan mengusir umat Islam di negara yang telah diduduki. – UTUSAN









