Disisih akibat ekzema

Disisih akibat ekzema

SITI Norhasibah Mohamed menunjukkan keadaan kulit yang luka akibat ekzema kronik dihidapi Irman Ezany Mohd. Izan di Kuala Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak dari Kuala Ibai, di sini sedih dan kecewa kerana sering diejek kawannya akibat penyakit ekzema kronik yang dihidapinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohammad Irman Ezany Mohd. Izan, 9, mula menghidap penyakit itu sejak berusia dua tahun.

Sakit akibat luka dan gatal melampau menyebabkannya tidak mampu mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga dengan baik.

Ibunya, Siti Norhasibah Mohamed, 36, berkata, tiada yang lebih menyedihkannya selain melihat Mohammad Irman Ezany menderita bukan sahaja dari segi fizikal malah emosi.

“Buat masa ini pengurusan sekolah beri dia cuti untuk tumpukan kepada rawatan. Sekarang sudah dua bulan dia tidak sekolah. Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini pun dia hanya duduk di rumah dan pulang ke kampung sekejap sahaja.

“Kulit dia terlalu sensitif. Saya kena pilih pakaian yang lembut, tidak panas dan tidak sebabkan kegatalan. Kadangkala susah nak cari baju yang sesuai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Siti Norhasibah yang kehila­ngan suami, Muhamad Izam Abd Aziz akibat kanser buah pinggang pada 2022 berkata, dia mengambil alih berniaga kedai makan di Batu Buruk untuk menyara tiga anak berusia antara sembilan hingga 13 tahun.

“Bila tiada suami, memang susah nak jaga anak sakit kronik macam ni. Saya terpaksa bawa dia ke tempat kerja. Kalau cuaca panas, dia duduk dalam kereta dengan penyaman udara di­pasang.

“Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada ubat hospital. Sebelum ini, organ dalaman dia membengkak sebab tersalah ubat. Kalau ubat sapu, saya masih berani cuba,” katanya.

Katanya, setiap bulan, dia perlu membawa Mohammad Irman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan susulan.

“Dia perlu mengikuti janji temu di hospital dan ubat tidak boleh terputus terutama krim sapu pada kulit yang disapu beberapa kali sehari. Kalau habis, kulitnya kering, merekah dan berdarah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN