Pengusaha beraya di ‘kebun’, pos lebih dua tan harumanis

Pengusaha beraya di ‘kebun’, pos lebih dua tan harumanis

NAZLIYAH Idris sibuk sejak awal Aidilfitri melakukan kerja-kerja mengutip, membersih serta membungkus sebelum proses penghantaran harumanis yang melebihi dua tan metrik bersempena musim buah ikonik Perlis itu di Kampung Jejawi Dalam, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Musim harumanis kembali mewarnai landskap pertanian negeri Perlis apabila para pengusaha mempelam ikonik itu tidak menang tangan memenuhi permintaan tinggi pelanggan dari seluruh negara sejak awal Aidilfitri lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menarik, ada antara mereka yang sanggup ‘beraya’ di kebun bagi memastikan proses kutipan dan penghantaran harumanis berjalan lancar susulan hasil tuaian musim ini yang melebihi dua tan metrik, suatu peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengusaha harumanis dari Kampung Jejawi Dalam, Nazliyah Idris, 64, berkata, musim kali ini menyaksikan penghantaran meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu lebih dua tan metrik berbanding hanya sekitar satu tan metrik sebelum ini.

“Musim ini saya jangka hasil jualan mencecah sehingga RM50,000 kerana tempahan memang sangat banyak. Kebanyakan pelanggan adalah pelanggan tetap yang membuat tempahan awal dan penghantaran dilakukan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Nazliyah yang telah sembilan tahun mengusahakan lebih 100 pokok harumanis, buah-buah tersebut akan melalui proses pembersihan sebelum diperam dalam bekas khas bagi memastikan kematangan sekata sebelum dibungkus dan dihantar kepada pembeli.

“Permintaan cukup tinggi setiap tahun. Selain hasil tuaian yang memberangsangkan, bimbingan daripada Jabatan Pertanian dan FAMA banyak membantu dalam aspek kursus, penjagaan tanaman serta teknik pemasaran,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Zahir Nazri, 40, berkata, musim harumanis tahun ini tiba serentak dengan sambutan Aidilfitri, sekali gus melonjakkan permintaan dalam kalangan perantau yang pulang ke kampung.

“Cuaca panas dan hujan yang kurang sebelum ini turut menyumbang kepada pengeluaran buah yang lebih banyak. Selain jualan dalam talian, saya turut jual kepada pasaran tempatan, terutama untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sebagai rekod, keluasan tanaman harumanis di Perlis kini mencecah 1,745.79 hektar melibatkan 2,693 petani, dengan kawasan yang berhasil sekitar 1,611.59 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN