BERA: Keadaan jalan yang semakin mendap di Kilometer 7.6 Jalan Felda Triang 1 di sini, sejak Rabu lalu membimbangkan lebih 500 penduduk di situ terutama semasa menggunakannya pada sebelah malam.
Ketua Peneroka Felda Triang 1, Zainudin Jamsari berkata, jalan itu adalah aluan utama penduduk di kawasan tanah rancangan itu dan turut dilalui oleh anggota tentera di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera serta warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bera.
“Buat masa ini, laluan utama itu dibenarkan kepada kenderaan ringan kerana hanya satu lorong sahaja dibuka. Tambahan, jalan semakin mendap berikutan air belum surut sepenuhnya.
“Tetapi, masih ada pengguna berdegil terutama pemandu lori membawa muatan sawit tmelalui jalan tersebut kerana ia lebih dekat ke kebun yang terletak di Triang Selatan. Tindakan pengguna yang ingkar mematuhi arahan pihak berkuasa enyebabkan keadaan jalan tersebut bertambah teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Zainudin berkata, bagi mengelakkan kesesakan trafik, dia sudah mencadangkan kepada pihak pengurusan MRSM Bera untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Bera Selatan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bera 1, Ahmad Fadzilah Mohd. Azaman berkata, pengguna perlu akur dengan arahan pihak berkuasa yang hanya membenarkan kenderaan ringan melalui jalan tersebut.
“Sebelah lorong laluan Persekutuan FT1293, Seksyen 7.50, Jalan Palong-Tembangau ditutup kepada kenderaan berat ekoran terdapat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan. Penutupan sebelah laluan jalan ini demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan pengguna iaitu melalui Jalan Sebertak – Bera Selatan (FT1572), berdekatan dengan Jalan Pangkalan Sudin (FT1569),” katanya. – UTUSAN











