SUZUKA: Musim pertama Lewis Hamilton bersama Ferrari terus dihimpit persoalan besar apabila pemandu Britain itu melahirkan kebimbangan terhadap kelemahan jentera SF-25 yang mula dipersetujui rakan sepasukan, Charles Leclerc.
Selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ketujuh, Hamilton mendedahkan beliau kehilangan masa hampir satu persepuluh saat setiap pusingan disebabkan masalah kestabilan belakang kereta yang mana isu yang turut diakui Ferrari sedang berusaha memperbaikinya.
Lebih membimbangkan, Leclerc yang sekadar menduduki tempat keempat di Suzuka juga tampil dengan nada kecewa kerana masalah sama turut menjejaskan prestasinya.
“Sejujurnya, memang tiada apa lagi yang boleh saya lakukan dalam kereta ini. Kami sudah lakukan semua dengan baik dengan strategi dan imbangan kereta, mengoptimumkan semua perkara.
“Tetapi inilah yang paling mengecewakan, apabila semuanya sempurna, saya masih hanya mampu berada di P4 (tempat keempat), dua atau tiga persepuluh saat perlahan setiap pusingan berbanding pelumba di hadapan,” kata Leclerc.
Hamilton sebelum ini mencipta kegembiraan singkat apabila meraih kemenangan perlumbaan pecut di China menjadikan kejayaan pertamanya bersama Ferrari.
Namun, kegembiraan itu hanya sementara selepas kedua-dua kereta Ferrari disingkirkan kerana pelanggaran teknikal, mencatat sejarah hitam disingkirkan berganda buat kali pertama.
Leclerc bagaimanapun cuba mencari penyelesaian menerusi tetapan (setup) unik mengikut gaya pemanduannya, tetapi mengakui usaha itu masih belum cukup untuk menyaingi Red Bull dan McLaren.
“Pada Jumaat lalu saya cuba arah tetapan yang sangat spesifik untuk gaya pemanduan saya. Saya rasa ia boleh membantu saya memaksimumkan potensi kereta ini, tetapi masih perlu dibuktikan di perlumbaan lain.
“Saya menantikan Grand Prix (GP) Bahrain untuk lihat sama ada pendekatan ini berhasil atau tidak. Jika berjaya, saya yakin sepanjang musim ini saya boleh memaksimumkan potensi diri. Tetapi kalau masih di P4? Itu bukan sesuatu yang menggembirakan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










