Sebagai peminat sukan permotoran, saya tidak akan melepaskan peluang untuk bermain permainan berlumba menggunakan set simulator.
Namun apakan daya, impian untuk memiliki set simulator perlumbaan sendiri mungkin sukar dicapai kerana harganya yang agak mahal.
Baru-baru ini, kawan saya memperkenalkan pusat permainan simulasi perlumbaan yang menjadi tumpuan ramai peminat permotoran iaitu Cove Circuit.
Lokasinya tidak jauh dari rumah saya di Bandar Sunway, dan hanya mengambil masa tujuh minit sahaja untuk sampai ke destinasi.
Disebabkan terlalu teruja, saya dan rakan tiba ke lokasi itu 45 minit lebih awal daripada waktu tempahan, yang sepatutnya bermula pukul 1 tengah hari.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke Cove Circuit, aura perlumbaan yang mendebarkan terus terasa.
Deruan enjin beserta muzik berkonsepkan permotoran dan pencahayaan futuristik sekali gus membangkitkan semangat untuk memecut laju.
Memasuki ruangan dalamannya, saya mendapati pusat permainan simulasi itu bukan sahaja menyediakan set perlumbaan kereta namun, terdapat jenis permainan lain juga.
Walaupun belum tiba waktu bermain, saya berasa seolah-olah sudah berada di dalam perlumbaan yang sebenar.

Saya sangat teruja kerana berpeluang mencuba simulator dengan set lengkap, termasuk roda stereng berkuasa dan pedal yang sangat responsif.
Nampak seperti mudah, tetapi menyertai perlumbaan di dalam bentuk simulasi, benar-benar menguji kemahiran dan ketahanan mental.
Dengan grafik dan sistem fizik yang mirip sebenar, setiap selekoh dan titik bahaya lain, perlu dihadapi dengan lebih berhati-hati.
Itulah pentingnya, teknik pemanduan seperti pelumba profesional untuk mengawal kereta.
Setiap pemandu perlu memahami keunikan setiap litar dan menyesuaikan gaya pemanduan mereka untuk mendapatkan catatan masa terbaik.
Jika berlaku sedikit kesilapan seperti mengambil selekoh terlalu awal atau lambat boleh menyebabkan kehilangan kawalan dan terbabas keluar dari trek.
Satu jam terasa terlalu singkat untuk benar-benar menikmati dan mengasah kemahiran dalam dunia simulasi perlumbaan yang begitu realistik.
Oleh itu, kawan saya membawa saya untuk mencuba satu lagi pusat simulasi perlumbaan yang lebih mencabar daripada Cove Circuit.
Di RaceRoom Racing Simulator, kami berpeluang untuk memilih litar-litar perlumbaan bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain yang terkenal dengan sukan permotoran bertaraf dunia.
Berbeza dengan pengalaman di Cove Circuit, apabila bermain di RaceRoom Racing Simulator, saya dapat menikmati efek tempat duduk yang boleh bergerak mengikut dinamika kereta.
Cara pemanduan juga lebih mencabar, saya sering kali terlanggar bahagian selekoh tajam serta dinding penghadang kerana perlu menyesuaikan diri dengan sistem kawalan yang lebih sensitif.
Setiap pergerakan stereng dan tekanan pada pedal brek atau minyak memberi kesan langsung kepada kawalan kenderaan, menjadikan pengalaman mencabar.










