SYDNEY: Seorang lelaki warga Jordan berdepan pertuduhan selepas didakwa cuba membuka pintu kecemasan sebuah pesawat dalam penerbangan menuju ke Sydney.
Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, lelaki berusia 46 tahun itu didakwa cuba membuka pintu kecemasan belakang pesawat yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, pada malam Sabtu.
Shadi Taiseer Alsaaydeh, dihadapkan ke mahkamah tempatan di Parramatta pada Ahad.
Menurut kenyataan AFP, kakitangan syarikat penerbangan mengiringinya ke tempat duduk di bahagian tengah pesawat, namun dia kemudian didakwa cuba membuka satu lagi pintu kecemasan.
Anak kapal dan penumpang terpaksa menahan tindakan itu, dan dalam insiden tersebut, dia didakwa menyerang seorang kakitangan syarikat penerbangan.
Pegawai Polis Persekutuan Australia menyambut ketibaan pesawat itu di Sydney, di mana suspek didakwa dengan dua pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat dan satu tuduhan menyerang kru kabin.
Setiap kesalahan tersebut membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.
Pemangku Ketua Detektif Superintenden AFP, Davina Copelin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan tingkah laku berbahaya di dalam pesawat.
“Tindakan lelaki itu boleh membawa akibat yang buruk dan penumpang serta kru pesawat tidak sepatutnya berdepan kelakuan liar, ganas atau berbahaya semasa penerbangan,” katanya.– THE GUARDIAN










