Aplikasi bantu kitar semula sisa makanan tanpa perlu keluar rumah

Aplikasi bantu kitar semula sisa makanan tanpa perlu keluar rumah

SISA makanan di UAE melebihi 50 peratus semasa Ramadan dan Syawal berbanding hari-hari biasa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SISA makanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melebihi 50 peratus semasa Ramadan dan Syawal berbanding hari-hari biasa, hingga mencetus penubuhan ReLoop, sebuah aplikasi yang mengubah bahan buangan menjadi sumber lestari.

Ditubuhkan pada tahun 2021 oleh Youssef Chehade dan Mohammad Abdulmoti, ReLoop adalah solusi teknologi iklim yang menjadikan kitar semula semudah memesan makanan dalam talian dengan menawarkan perkhidmatan kutipan sisa dari rumah.

Youssef, seorang jurutera kimia yang dibesarkan di UAE, berasal dari keluarga yang menghargai kelestarian dan keberkatan sumber.

“Kami dibesarkan dengan nilai untuk menghargai apa yang ada, membeli hanya yang perlu serta menggunakan semula atau membaiki barang daripada membuangnya,” kata ekspatriat Lubnan berusia 35 tahun itu.

Pengalamannya mengembara ke seluruh dunia memperkenalkannya kepada pelbagai inisiatif kitar semula, yang membantunya untuk mencipta kaedah praktikal dalam mengurangkan pembaziran.
“Kami melihat begitu banyak makanan terbuang sedangkan jutaan orang di seluruh dunia menderita kelaparan. Kami ingin mencipta penyelesaian bagi menghargai nikmat ini.” katanya.

Motivasi itu mendorongnya untuk menubuhkan Ecyclex International Recycling pada tahun 2012 bersama rakan kolejnya, Mohammad, sebagai perniagaan sampingan yang kemudiannya berkembang kepada tiga pusat kitar semula di Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah.

“Pada 2021, kami melancarkan ReLoop, aplikasi mudah alih dan web teknologi iklim yang membawa pendigitalan ke dalam industri kitar semula. Ia membolehkan isi rumah dan syarikat mengitar semula hanya melalui telefon,” jelasnya.

Sejak diperkenalkan pada 2021, ReLoop telah mengalihkan lebih satu juta kilogram sisa makanan daripada tapak pelupusan sampah.

Pendekatan syarikat ini menggabungkan inovasi digital dengan operasi kitar semula menyeluruh, mengubah sisa makanan menjadi baja kompos kaya nutrien atau dikenali sebagai ‘emas coklat’ yang membantu menyuburkan tanah gurun untuk pertanian.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penilaian sisa makanan, penyediaan tong pemisahan sisa, program kesedaran, kutipan sisa serta pengagihan baja kompos kepada petani tempatan.

“Kami melihat begitu banyak makanan dibazirkan, lebih 30 peratus pada hari biasa dan sekitar 50 hingga 60 peratus semasa Ramadan dan Syawal. Ini membuktikan betapa banyak nikmat yang kita peroleh dan perlunya kita menjaganya.

“Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kira-kira sembilan juta orang mati akibat kelaparan setiap tahun. Oleh itu, kami ingin melakukan sesuatu untuk memelihara nikmat ini di UAE,” jelasnya.

ReLoop bekerjasama dengan inisiatif nasional seperti Ne’ma, Inisiatif Kebangsaan UAE untuk Pengurangan Kehilangan dan Pembaziran Makanan serta Bank Makanan UAE.

Aplikasi ini memainkan peranan penting dalam pengurangan sisa makanan di beberapa acara utama seperti Abu Dhabi Sustainability Week, perlumbaan Formula 1, konsert Coldplay dan Festival Al Hosn.

“Melalui intervensi ini, ramai sebenarnya yang tidak sedar jumlah sisa makanan yang dihasilkan di acara atau tempat mereka. Namun, selepas sistem pemisahan dan kitar semula diperkenalkan, mereka mula menyedari betapa banyaknya makanan yang dibuang,” katanya.

Youssef juga mendapati penurunan pembaziran makanan selepas pelbagai mesej dan inisiatif pengurangan sisa diperkenalkan oleh kerajaan.

Terbaharu, menerusi kerjasama Ne’ma dengan Taste of Abu Dhabi, ReLoop berjaya mengalihkan 310 kilogram (kg) sisa makanan, sekali gus mengelakkan pelepasan 775kg karbon dioksida (CO2).

Berdasarkan kejayaan ini, Ne’ma dan ReLoop turut menerapkan langkah serupa di Taste of Dubai, yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari lalu, dengan sasaran mendidik 25,000 pengunjung mengenai strategi praktikal pengurangan pembaziran makanan.

“Dengan menyediakan penyelesaian sebenar dan meningkatkan kesedaran, kami berharap dapat menginspirasi perubahan tingkah laku jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Kelestarian di Emirates Foundation dan Setiausaha Agung Ne’ma, Khuloud Al Nuwais. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×